ORANG ramai mencari mangsa di runtuhan bangunan susulan serangan udara Israel di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
ORANG ramai mencari mangsa di runtuhan bangunan susulan serangan udara Israel di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Hamas pada Khamis mengeluarkan senarai hampir 7,000 nama penduduk Gaza yang terbunuh dalam serangan Israel selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden meragui angkanya.

Sehingga semalam, pejuang Islam Palestin mengatakan bahawa 7,028 orang sudah terbunuh di Gaza, sejak serangan 7 Oktober, yang menurut Israel menyebabkan 1,400 orang di pihaknya, maut.

Senarai Hamas yang mengandungi 6,747 nama, dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatannya, memberikan butiran jantina, umur dan nombor kad pengenalan setiap mangsa. Ia berkata, 281 mayat masih belum dikenal pasti.

Kementerian Kesihatan itu dalam satu kenyataan berkata, AS 'secara kurang ajar menimbulkan keraguan berhubung kebenaran jumlah yang diumumkan'.

"Kami memutuskan untuk mengumumkan butiran nama kepada seluruh dunia supaya kebenaran diketahui mengenai pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pendudukan Israel terhadap rakyat kami," kata kenyataan itu.

Biden pada Rabu berkata, beliau tidak yakin terhadap angka kematian kumpulan pejuang Islam itu.

"Apa yang mereka katakan kepada saya ialah saya tidak mempunyai tanggapan bahawa rakyat Palestin bercakap benar mengenai berapa ramai orang yang terbunuh. Saya pasti orang yang tidak bersalah telah dibunuh, dan ia adalah harga untuk melancarkan perang," kata Biden kepada sidang akhbar di White House.

Biden, bagaimanapun antara beberapa pemimpin Barat yang memberi amaran kepada Israel mengenai jumlah korban dalam kalangan orang awam.

"Israel harus sangat berhati-hati untuk memastikan bahawa mereka memberi tumpuan untuk mengejar orang yang (sedang) menyebarkan perang ini," katanya.

Selepas peluru berpandu terkena berhampiran hospital di Gaza pada 17 Oktober lalu, Hamas menyalahkan serangan udara Israel dan berkata, ratusan orang sudah terbunuh.

Israel menegaskan bahawa roket salah hala yang dilepaskan oleh kumpulan pejuang Gaza, yang harus dipersalahkan dalam insiden itu.

AS dan negara-negara Eropah menyokong versi Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 10:35 AM