GAMBAR diambil dari Sderot, bandar selatan Israel menunjukkan asap dan serpihan berterbangan di utara Semenanjung Gaza selepas serangan tentera Israel, semalam. FOTO AFP.
GAMBAR diambil dari Sderot, bandar selatan Israel menunjukkan asap dan serpihan berterbangan di utara Semenanjung Gaza selepas serangan tentera Israel, semalam. FOTO AFP.
Agensi

Baitulmaqdis: Kekejaman Israel berterusan dengan tenteranya dikerah menyerbu bandar Jaba'a, timur laut Baitulmaqdis malam tadi dan menyasarkan rumah dan bangunan berpenghuni.

Menurut sumber yang dilapor agensi berita Palestin WAFA, penduduk di al-Waleeb diarah meninggalkan bangunan dan askar memeriksa kawasan dan beberapa kediaman berhampiran.

Tentera rejim itu juga dilihat mengawal kawasan dan menghalang pergerakan penduduk.

Semalam, Ketua Staff Tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi mengumumkan pihaknya bersiap sedia untuk melakukan "serangan bertubi-tubi" untuk menggempur Hamas.

Dalam kenyataan dikeluarkan, rejim Zionis itu tidak berhasrat untuk mengendurkan serangan ke atas Semenanjung Gaza yang padat dengan penduduk.

Sebaliknya, beliau membayangkan yang pasukannya sudah bersedia untuk serangan darat.

"Kami mahu Hamas dibongkar sepenuhnya. Laluan itu adalah laluan serangan tanpa henti, memusnahkan Hamas di mana-mana dan mengikut semua cara.

"Kami sudah bersedia untuk operasi darat di selatan," katanya yang merujuk kepada selatan Israel yang bersempadan dengan Gaza.

Kata Halevi, terdapat pertimbangan taktikal, operasi serta strategik yang memberikan masa tambahan kepada rancangan serangan itu, namun menyifatkan tentera yang mempunyai lebih banyak masa akan lebih bersedia.

Serangan udara Israel yang dilepaskan ke Semenanjung Gaza, semalam yang menyasarkan Hamas, telah menyebabkan lebih banyak kematian.

Kementerian Kesihatan Palestin dilapor Reuters berkata, korban perang itu sudah melebihi 5,000 dalam tempoh dua minggu.

Lewat malam semalam, Israel melakukan serangan udara ke atas kem pelarian Gaza yang menyebabkan puluhan mati dan cedera.

Jurucakap kementerian Ashraf Al-Qudra berkata, serangan disasar kepada kem Al-Shati di pesisir perairan laut Mediterrnean yang menyebabkan wanita dan kanak-kanak maut.

Media tempatan pula melaporkan lima kematian akibat serangan di kem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 11:31 AM