LORI membawa bantuan kemanusiaan tiba dari Mesir selepas melalui pintu sempadan Rafah. FOTO AFP
LORI membawa bantuan kemanusiaan tiba dari Mesir selepas melalui pintu sempadan Rafah. FOTO AFP
AFP

Gaza: Tentera Israel mengumumkan meningkatkan pengeboman ke atas Gaza yang dikawal pejuang Hamas hanya beberapa jam selepas lori yang membawa bantuan kemanusiaan dari Mesir mula memasuki pintu sempadan Rafah, semalam.

Tindakan itu bertujuan untuk mengurangkan risiko yang bakal dihadapi tentera Israel apabila mereka memasuki Gaza dalam fasa peperangan seterusnya yang dilancarkan ke atas Hamas, selepas kumpulan pejuang itu melakukan serangan pada 7 Oktober lalu.

Jurucakap tentera Israel Laksamana Daniel Hagari berkata, puluhan ribu tentera Israel sudah dikerahkan ke sempadan Gaza menjelang serangan darat yang dijangka bermula tidak lama lagi.

"Mulai hari ini (semalam), kami meningkatkan serangan dan meminimumkan bahaya.

"Kami perlu memasuki fasa perang seterusnya dalam keadaan terbaik, bukan mengikut apa yang diberitahu oleh sesiapa kepada kami," katanya kepada wartawan, pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Kakitangan Leftenan Jeneral Herzi Halevi berkata, pasukannya sudah bersedia untuk menangani sebarang kejutan daripada pejuang Hamas.

"Gaza berpenduduk padat, musuh sedang menyediakan banyak perkara di sana, tetapi kami juga sedang bersiap untuk mereka," katanya.

Terdahulu, 20 lori dilaporkan dari Bulan Sabit Merah Mesir melalui sempadan Rafah yang melintasi dari Mesir ke Gaza pada Sabtu.

Kesemua lori berkenaan sebelum ini menunggu selama beberapa hari di Mesir dan memasuki Gaza selepas Israel bersetuju dengan permintaan daripada sekutu utamanya Amerika Syarikat untuk membenarkan bantuan dibawa masuk.

Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata, 20 lori itu tidak mencukupi untuk penduduk Gaza, sebaiknya perlu lebih banyak bantuan dihantar.

Pada serangan mengejut 7 Oktober lalu, pegawai Israel berkata, Hamas membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang, kebanyakannya orang awam dan menjadikan lebih 200 tebusan.

Israel kemudiannya bertindak balas dengan siri pengeboman tanpa henti hingga mengorbankan lebih 4,300 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya adalah orang awam.

Israel juga membuat pengepungan menyeluruh selain memotong bekalan makanan, air, elektrik dan bahan api ke wilayah berpenduduk padat dengan 2.4 juta orang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 10:35 AM