ASAP di Semenanjung Gaza dirakam dari Israel. FOTO Reuters
ASAP di Semenanjung Gaza dirakam dari Israel. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Sejumlah penduduk yang hilang tempat tinggal, terbunuh, manakala sebilangan lagi cedera akibat serangan Israel, lewat malam tadi, ketika mereka berlindung di pekarangan sebuah gereja di Semenanjung Gaza.

Menurut Kementerian Dalam Negeri di bawah pentadbiran Hamas, ramai yang terkorban dan mengalami kecederaan di pekarangan Gereja Greek Orthodox Saint Porphyrius dalam serangan itu.

Menurut saksi, mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan, dan bedilan itu turut merosakkan sebahagian gereja terbabit, selain menyebabkan sebuah bangunan di sebelahnya runtuh.

Saint Porphyrius adalah gereja tertua masih beroperasi di Gaza dan terletak di kawasan kejiranan bersejarah dalam bandar itu.

Susulan itu, pihak Orthodox Patriarchate of Jerusalem dalam satu kenyataan, mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan.

"Menyasarkan gereja dan institusinya, serta perlindungan yang disediakan kepada rakyat tidak bersalah, terutama kanak-kanak dan wanita yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara Israel ke atas kawasan kediaman sejak 13 hari lalu, adalah jenayah perang yang tidak boleh dibiarkan," menurut kenyataan itu.

Gereja berkenaan terletak tidak jauh dari Hospital Al-Ahli Arab yang turut diserang sehingga meragut sekurang-kurang 471 nyawa pada Selasa lalu, menurut pihak berkuasa Hamas.

Ketika dihubungi AFP, pihak tentera Israel memaklumkan sedang melakukan pemeriksaan mengenai serangan ke atas pekarangan gereja berkenaan.

Serangan bertalu-talu dilancarkan rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza dalam konflik terbaru ketika ini sudah mengorbankan sekurang-kurang 3,785 rakyat Palestin yang kebanyakannya adalah orang awam, menurut Kementerian Kesihatan di bawah pentadbiran Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 10:15 AM