WANITA Palestin menggantung pakaian di kawasan sekitar runtuhan bangunan di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
WANITA Palestin menggantung pakaian di kawasan sekitar runtuhan bangunan di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Tentera Israel menerima perjanjian pertukaran tebusan dan gencatan senjata sementara dengan kumpulan Palestin Hamas di Semenanjung Gaza, lapor media tempatan pada Selasa.

"Tentera bercadang untuk melakukan gencatan senjata.

"Tujuannya adalah menyusun semula pasukannya sebagai persediaan untuk meluaskan operasi daratnya ke selatan Gaza," menurut penyiar awam KAN memetik Agensi Anadolu.

Menurut penyiar itu, perjanjian yang dicadangkan itu termasuk gencatan senjata selama empat hari.

Cadangan lain adalah pembebasan 50 warga Israel ditahan oleh Hamas sebagai balasan kepada 150 warga Palestin di penjara Israel.

Israel menganggarkan sekurang-kurangnya 239 warga Israel ditahan oleh Hamas. Ia berikutan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza berikutan serangan Hamas.

Kesannya, lebih 14,128 rakyat Palestin terbunuh termasuk 5,840 kanak-kanak dan 3,920 wanita.

Ribuan bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja, juga rosak atau musnah dalam serangan udara serta darat Israel ke atas kawasan yang dikepung itu.

Menurut data rasmi, angka kematian rakyat Israel mencecah kira-kira 1,200 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 10:19 AM