ASAP tebal susulan serangan udara Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal susulan serangan udara Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Israel akan meneruskan serangannya di Semenanjung Gaza, selepas cadangan gencatan senjata sementara.

Agensi Anadolu melaporkan, langkah itu diumumkan oleh Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, pada Selasa.

"Kami sedang berperang, dan perang akan berterusan sehingga semua matlamat kami tercapai," kata Netanyahu dalam ucapan menjelang mesyuarat Kabinet.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan cadangan perjanjian tebusan dan gencatan senjata empat hari dengan kumpulan Palestin Hamas yang berpangkalan di Gaza.

"Di hadapan kami adalah keputusan yang sukar tetapi tepat," kata Netanyahu mengenai perjanjian itu.

Menurut media tempatan, perjanjian termasuk pertukaran 50 warga Israel yang dipegang oleh Hamas sebagai balasan kepada pembebasan 150 warga Palestin di penjara Israel.

"Kami tidak akan berehat sehingga semua orang dikembalikan.

"Peperangan mempunyai peringkat dan pemulangan tebusan akan ada peringkat," tambah Netanyahu.

Israel menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 239 orang Israel ditahan oleh Hamas berikutan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza, berikutan serangan Hamas.

Kesannya, lebih 14,128 rakyat Palestin terbunuh termasuk 5,840 kanak-kanak dan 3,920 wanita dengan bilangan direkodkan itu disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan di kawasan berkenaan.

Sementara ribuan bangunan, termasuk hospital, masjid, dan gereja, juga rosak atau musnah dalam serangan udara serta darat Israel ke atas kawasan yang dikepung itu.

Menurut data rasmi, angka kematian rakyat Israel mencecah kira-kira 1,200 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 9:28 AM