WANITA berjalan di tepi slogan propaganda yang mempromosikan perpaduan etnik di Yarkant wilayah Xinjiang, China. FOTO AFP.
WANITA berjalan di tepi slogan propaganda yang mempromosikan perpaduan etnik di Yarkant wilayah Xinjiang, China. FOTO AFP.
Agensi

Beijing: Profesor terkemuka Uyghur yang menghilangkan diri enam tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh pihak berkuasa China kerana 'membahayakan keselamatan negara'.

Rahile Dawut, 57, yang pakar dalam kajian cerita rakyat dan tradisi Uyghur, gagal dalam rayuan terhadap hukumannya selepas disabitkan kesalahan pada 2018 atas tuduhan mempromosikan 'perpecahan', menurut kumpulan hak asasi manusia, Yayasan Dui Hua (Dui Hua) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Kumpulan itu menghabiskan masa bertahun untuk mencari Dawut dan dalam kenyataan dikeluarkan, ia menerima maklumat daripada seorang pegawai China serta sedang mendapatkan butiran lanjut daripada kerajaan, termasuk keberadaan wanita itu, tahap kesihatannya dan hak Dawut untuk berhubung dengan ahli keluarganya.

Pengarah Eksekutif Dui Hua, John Kamm menyifatkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Dawut sangat kejam.

"Hukuman terhadap Prof Rahile Dawut satu kehilangan besar buat orang Uyghur, dan bagi semua pihak yang menghargai kebebasan akademik. Saya menyeru agar dia dibebaskan segera dan selamat kembali kepada keluarganya," katanya.

Dawut dipercayai antara lebih 300 intelektual Uyghur yang diketahui ditangkap dan dipenjarakan sejak 2016. Dianggarkan 1.5 juta orang Uyghur pula telah ditahan di kem 'pendidikan semula'.

Ketika penahanannya pada Disember 2017, Dawut mengajar di Kolej Kemanusiaan Universiti Xinjiang, tempat dia mengasaskan Pusat Penyelidikan Etnik Minoriti pada 2007.

Kata Dui Hua, Dawut juga akan dilucut hak politik seumur hidup.

Banyak institusi akademik yang dikaitkan dengan Dawut menerusi kerjanya, termasuk universiti Harvard, Cornell, British Columbia, Pennsylvania, Washington, Indiana dan Cambridge, menyertai rayuan untuk menggesa pihak berkuasa China membebaskan wanita itu.

Sementara itu, anak perempuan Dawut, Akeda Pulati dalam kenyataan menerusi Dui Hua merayu pihak berkuasa China membebaskan ibunya.

"Setiap hari saya bimbangkan ibu saya. Memikirkan ibu tidak bersalah dan terpaksa menghabiskan hidupnya di penjara, amatlah menyakitkan. China, tunjukkanlah belas ihsan dan bebaskan ibu saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 7:53 AM