PALACE of Westminster, London, yang menempatkan Parlimen UK. FOTO AFP
PALACE of Westminster, London, yang menempatkan Parlimen UK. FOTO AFP
AFP

London: China menyasarkan rekrut pegawai tertinggi United Kingdom (UK) untuk mendapatkan maklumat rahsia.

Perkara itu didedahkan kerajaan di London semalam, ketika membalas kritikan mengenai dasarnya terhadap kuasa besar Asia itu.

Jawatankuasa Perisikan dan Keselamatan Parlimen (ISC) dalam laporan pada Julai menyebut pendekatan kerajaan UK untuk menangani pengintipan China adalah tidak mencukupi dan tidak mempunyai penyelarasan.

Maklum balas rasmi kerajaan dibuat hanya beberapa hari selepas pendedahan seorang penyelidik Parlimen UK ditahan awal tahun ini, kerana disyaki mengintip untuk China, namun ia dinafikan Beijing.

Perkhidmatan perisikan domestik MI5 juga memberi amaran kepada Parti Konservatif yang memerintah, dua bakal ahli Parlimen berpotensi menjadi perisik China.

"Kerajaan mengenal pasti skim perekrutan China cuba memburu warga UK dan sekutu dalam jawatan penting dan dengan pengetahuan dan pengalaman sensitif termasuk daripada kerajaan, tentera, industri dan masyarakat yang lebih luas," katanya dalam maklum balas setebal 48 muka surat.

Selain itu katanya, ia menerima bahawa "ada lagi kerja yang perlu dilakukan untuk mengetatkan perlindungan terutama terhadap sasaran bekas penjawat awam dan mereka yang masih bertugas."

Dalam satu kenyataan bertulis kepada Parlimen yang mengiringi maklum balas kerajaan, Perdana Menteri, Rishi Sunak menggelar China sebagai cabaran kepada orde baharu antarabangsa.

Beliau mempertahankan dasarnya, membabitkan pendekatan lebih pragmatik dengan Beijing khususnya dalam isu global seperti menangani perubahan iklim dan krisis kesihatan.

Sesetengah pihak dalam partinya sendiri mahu beliau menyifatkan China sebagai ancaman sistemik kepada UK kerana dakwaan pencabulan hak terhadap minoriti Uighur dan tindakan keras terhadap kebebasan di Hong Kong.

Sunak berkata, kritikan ISC adalah lama sebelum ketetapan seperti mengharamkan syarikat teknologi Huawei daripada rangkaian 5G di Britain dan individu Cina yang terbabit dalam program nuklear.

Pengerusi ISC, Julian Lewis, yang menyelia agensi perisikan Britain bagaimanapun berkata, ia mengelirukan untuk membayangkan penemuan mereka itu sebagai sudah lapuk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 10:15 AM