Sebahagian jururawat yang menyertai mogok berhampiran Hospital St Thomas, London. - FOTO Reuters
Sebahagian jururawat yang menyertai mogok berhampiran Hospital St Thomas, London. - FOTO Reuters
AFP

London: Kumpulan jururawat Britain mengadakan mogok buat kali kedua pada bulan ini, dengan kesatuan mereka mengancam untuk meningkatkan protes mengenai gaji.

Mereka juga memberi amaran keselamatan pesakit mungkin menjadi taruhan.

Pihak kesatuan menetapkan hari mogok selanjutnya jika kerajaan tidak bertindak balas terhadap tuntutan mereka dalam tempoh 48 jam.

Tindakan industri seramai 100,000 jururawat itu tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah 106 tahun kesatuan kejururawatan Britain, dengan pihak kesatuan mendakwa tidak mempunyai pilihan kerana ahlinya bergelut untuk memenuhi keperluan akibat inflasi meningkat melebihi 10 peratus.

Kerajaan sebelum ini menawarkan jururawat kenaikan gaji sekitar empat peratus dan enggan membincangkan isu gaji lebih lanjut.

Ini memandangkan Perdana Menteri, Rishi Sunak berkata permintaan jururawat untuk kenaikan gaji sebanyak lima peratus ditambah inflasi akan bersamaan dengan kenaikan 19 peratus, yang tidak mampu ditunaikan kerajaan.

Ketua Kesatuan Kolej Kejururawatan Diraja (RCN), Pat Cullen berkata perkara itu perlu diselesaikan menjelang Krismas dan akan melakukan rundingan bagi mencapai kata sepakat.

"Tetapi jika kerajaan tidak bersedia untuk melakukan perkara yang betul, maka kami tidak mempunyai pilihan selain meneruskan (mogok) pada Januari dan ia amat dikesali," katanya.

RCN berkata, ia memberi kerajaan 48 jam untuk menyampaikan maklum balas sebelum mengumumkan tarikh mogok selanjutnya.

Britain menghadapi gelombang tindakan perindustrian pada musim sejuk dengan pekerja ambulans juga akan mengadakan mogok esok, ketika kerajaan bersiap sedia menggunakan tentera untuk mengambil alih tugas memandu ambulans.

"Pintu kami terbuka untuk berbincang dengan kesatuan sekerja apa saja yang berkaitan dengan keadaan kerja.

"Apa yang tidak boleh kami lakukan ialah kembali membuka semula hal berkaitan gaji," kata Menteri Kesihatan, Will Quince.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 6:21 PM