Antara mesin penghasilan wap air yang digunakan. - FOTO Antara
Antara mesin penghasilan wap air yang digunakan. - FOTO Antara
BERNAMA

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia melaksanakan kaedah hujan buatan menggunakan teknik semburan wap air bagi mengurangkan pencemaran udara di ibu negara.

Jurucakap agensi pengurusan bencana (BNPB) Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata hasil yang ketara telah dicapai dengan penurunan tahap pencemaran zarah 2.5, menjadikan udara lebih bersih di kawasan Jakarta.

BNPB dengan kerjasama agensi penyelidikan dan meteorologi, mengerah dua pesawat Cessna tentera untuk menyerakkan molekul air ke langit bagi mencipta proses penyejatan buatan.

Operasi yang dijalankan pada 4 September sehingga malam tadi merangkumi tempoh penerbangan 82 jam 50 minit dan 70,500 liter air.

"Setiap pesawat melakukan empat penerbangan di pelbagai kawasan di Jakarta dalam satu hari, termasuk Jakarta Pusat, Jakarta Timur, dan Jakarta Utara," kata Abdul Muhari.

Bulan lalu, ibu kota itu dikenal pasti sebagai bandar paling tercemar di dunia, berdasarkan data daripada IQAir, sebuah firma Switzerland yang pakar dalam teknologi kualiti udara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 5:06 PM