TRAFIK sesak di Jakarta. FOTO fail AFP
TRAFIK sesak di Jakarta. FOTO fail AFP
Agensi

Jakarta: Pentadbiran bandar ini menguatkuasakan dasar kerja dan pembelajaran jarak jauh, untuk pekerja bandar dan pelajar sekolah, menjelang Sidang Kemuncak Asean pada September depan.

Straits Times melaporkan, langkah itu diambil bagi membendung pencemaran udara teruk di bandar itu, sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Ia kerana Jakarta kini secara konsisten berada di kedudukan antara 10 bandar paling tercemar di seluruh dunia sejak Mei, menurut data yang dikumpulkan oleh syarikat teknologi kualiti udara Switzerland, IQAir.

Pihak berkuasa sebahagian besarnya menyalahkan pencemaran udara yang semakin teruk disebabkan musim kemarau berpanjangan yang diburukkan lagi dengan kenderaan bermotor dan aktiviti perindustrian.

Pemangku Ketua Agensi Komunikasi, Maklumat dan Statistik Jakarta, Sigit Wijatmoko berkata, bandar itu akan menguatkuasakan dasar kerja jauh untuk 50 peratus pekerjanya minggu ini sehingga 21 Oktober depan.

"Peraturan itu hanya akan dikenakan kepada pekerja yang tidak berkhidmat kepada orang ramai secara langsung.

"Kami akan memastikan sistem kerja jauh tidak akan menjejaskan perkhidmatan awam," kata Sigit, minggu lalu.

Bandar raya Jakarta menggaji kira-kira 200,000 orang dengan 30 peratus daripadanya adalah penjawat awam.

Tambah Sigit, polisi kerja jarak jauh kemudiannya akan diperluaskan kepada 75 peratus pegawai bandar raya yang tempat kerjanya berada di sekitar tempat sidang kemuncak Asean.

Sidang kemuncak itu dijadualkan pada 5 hingga 7 September di Pusat Konvensyen Jakarta di Jakarta Selatan.

Bandar itu juga akan mengarahkan sekolah yang terletak di sekitar tempat sidang kemuncak itu untuk melaksanakan pembelajaran jarak jauh untuk 50 peratus pelajar mereka ketika sidang berkenaan.

Ia kerana sekolah yang terletak di sekitar kawasan Thamrin-Sudirman dan Menteng di Jakarta Pusat, serta Kuningan di Jakarta Selatan, akan terjejas oleh dasar ini.

"Pelajar boleh kembali ke sekolah sepenuhnya selepas sidang kemuncak selesai," kata Sigit.

Selain bekerja dan belajar, secara jarak jauh, pentadbiran Jakarta juga bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk meningkatkan usaha mengawal pelepasan karbon daripada kenderaan di bandar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 11:35 AM