KERJA mengalihkan pondok telefon awam berkenaan. FOTO UPI
KERJA mengalihkan pondok telefon awam berkenaan. FOTO UPI
Agensi

New York: Satu majlis diadakan baru-baru ini untuk mengalihkan pondok telefon awam terakhir yang masih berfungsi di bandar raya ini.

UPI melaporkan telefon berbayar itu dialihkan dengan kren dari kaki lima di 7th Avenue dan 50th Street di Midtown Manhattan dekat selatan Times Square, Amerika Syarikat (AS).

Kerja itu menandakan berakhirnya era telefon berbayar.

Seorang jurucakap memaklumkan walaupun ia telefon awam terakhir di bandar itu tetapi masih terdapat kemudahan sama milik persendirian.

Bandar ini mula mengalih keluar telefon berbayar pada 2015 kerana ia menjadi usang dan menggantikannya dengan kawasan awam dengan Wi-Fi.

Sejak itu, bandar itu mengalih keluar ribuan telefon berbayar di semua lima daerah perbandaran.

Menurut laman web rasmi bandar, terdapat lebih daripada 6,000 telefon berbayar awam yang aktif di kaki lima bandar berkenaan, pada 2014.

Kerja mengalih keluar semua telefon itu asalnya dijadualkan menjelang 2020, tetapi prosesnya mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

Pegawai bandar berkata di laman web bahawa telefon awam yang menyediakan akses percuma kepada perkhidmatan bandar bukan kecemasan 911 dan 311 itu, masih digunakan untuk panggilan biasa dan panggilan jarak jauh, tetapi penggunaannya berkurangan.

Menurut Pejabat Teknologi dan Inovasi Bandar, kini terdapat ribuan kiosk tanpa wayar yang dikendalikan oleh LinkNYC merentasi lima wilayah.

Pegawai LinkNYC berkata akan ada fungsi 5G ditambahkan pada kiosk musim panas ini yang turut menyediakan direktori perkhidmatan sosial, pengecasan peranti, panggilan domestik percuma dan amaran transit dan cuaca.

"Kami meraikan penghujung era telefon berbayar tetapi mengharapkan permulaan baharu," kata ketua pegawai teknologi bandar itu, Matthew Fraser, lapor 1010WINS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 7:30 AM