GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Singapura: Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 14 tahun pada Selasa selepas mengaku dan didapati bersalah mencekik anak lelaki kembar yang didiagnos Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) serta mengalami kelewatan perkembangan atau Global Development Delay (GDD).

Portal Today Online melaporkan Xavier Yap Jung Houn, 50, mencekik Aston Yap Kai Shern dan Ethan Yap E Chern, tahun lalu, ketika kembar dua itu berusia 11 tahun.

Perbuatan itu dilakukannya di terusan berbumbung berhampiran taman permainan di Upper Bukit Timah berdekatan kediaman mereka, pada 2022

Mahkamah diberitahu, Xavier memutuskan untuk membunuh dua anak lelakinya itu dan dirinya sendiri dengan harapan untuk 'membebaskan' isterinya, Anna Seah daripada beban menjaga anak lelaki mereka yang didiagnos ASD dan GDD pada 2017.

Keluarga itu dinasihatkan untuk menempatkan kembar itu di sekolah pendidikan khas, tetapi Anna sukar menerima kekurangan anak kembar itu.

Sebaliknya, Anna mendaftarkan kembar itu di sekolah arus perdana dan keputusan itu dianggap Xavier sebagai antara keputusan yang tidak realistik.

Xavier melahirkan kebimbangan jika kembar orang kurang upaya (OKU) itu akan dibuli termasuk apabila dia dan Anna sudah meninggal dunia kelak.

Ketika ini, Xavier dan Anna dalam proses perceraian.

Selepas membunuh anak kembarnya, Xavier cuba untuk menamatkan nyawanya sendiri dengan menikam perut, dada dan belakangnya dengan pencungkil ais. Dia juga memukul kepalanya dengan dahan pokok dan batu.

Xavier didapati mengalami gangguan kemurungan teruk yang diburukkan lagi dengan kekecewaan berikutan layanan isterinya terhadap anak istimewa mereka.

Dia mempunyai hubungan yang baik dengan anak-anaknya itu, sering membantu menyediakan keperluan harian mereka dan membeli barang-barang yang mereka mahukan.

Bagaimanapun, Xavier mula risau apabila dia perasan bahawa Anna sentiasa marah dengan anak kembar OKU itu.

Pada awal tahun 2022, Xavier mula menyimpan fikiran serius untuk membunuh anak lelaki kembar itu dan mahu membunuh diri, kerana dia menyedari bahawa isterinya sangat tertekan dan kecewa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 9:56 AM