LONGKANG besar tempat penemuan mayat kembar lelaki yang didakwa dibunuh. FOTO Berita Harian Singapura.
LONGKANG besar tempat penemuan mayat kembar lelaki yang didakwa dibunuh. FOTO Berita Harian Singapura.
Agensi

Singapura: Bapa kembar lelaki berusia 11 tahun yang ditemui maut di longkang besar di Upper Bukit Timah didakwa di mahkamah, hari ini atas tuduhan membunuh.

Xavier Yap Jung Houn, 48, dilapor Berita Harian Singapura, tampil di mahkamah daerah menerusi pautan video apabila tuduhan dibacakan kepadanya.

Dia didakwa membunuh Ethan Yap E Chern di longkang besar tertutup di taman permainan Greenridge Crescent pada Jumaat (21 Januari) antara 4.23 petang hingga 6.25 petang.

Yap yang memakai kemeja-T polo putih dan pelitup pakai buang biru tidak menunjukkan sebarang ekspresi ketika pertuduhan itu dibacakan.

Hanya satu tuduhan dikemukakan di mahkamah, dengan kesalahan membunuh membawa kepada hukuman mati.

Pendakwa polis meminta Yap ditahan selama seminggu dengan kebenaran untuk dibawa keluar bagi siasatan termasuk kunjungan ke tempat kejadian.

Peguam Yap, Encik Anil Singh Sandhu pula memberitahu mahkamah bahawa keluarga itu sedang meratapi pemergian dua kanak-kanak berkenaan.

"Media hadir di mahkamah pagi ini dan mangsa merupakan dua kanak-kanak berusia 11 tahun. Sejak beberapa hari lalu, media agak aktif dalam melaporkan perkara ini tetapi saya seikhlasnya menggesa media agar memberi sedikit ruang dan privasi buat keluarga ini menangani kehilangan dua kanak-kanak kecil," kata peguam itu.

Kes Yap akan disebut semula pada 31 Januari.

Media pada Sabtu lalu melaporkan, polis menerima panggilan pada 6.25 petang, Jumaat daripada seorang lelaki yang meminta bantuan di taman permainan di kawasan perumahan teres di Bukit Timah.

Ketika ketibaan polis, dua anak kembar lelaki berkenaan ditemui tidak sedarkan diri berhampirannya dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik.

Dipercayai mayat kedua-duanya ditemui di dalam longkang besar dan dalam yang berada di tengah-tengah taman permainan itu.

Kembar berkenaan, Ethan dan Ashton dikatakan individu berkeperluan khas dan dipercayai adalah pelajar di sekolah sekitar Eng Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 12:19 PM