DAVID Xavier (gambar kanan) didakwa menikam pasangannya, Andreia Guilherme (gambar kiri) sebanyak 50 kali hingga meninggal dunia. FOTO Agensi
DAVID Xavier (gambar kanan) didakwa menikam pasangannya, Andreia Guilherme (gambar kiri) sebanyak 50 kali hingga meninggal dunia. FOTO Agensi
Agensi

London: Cemburu buta menjadi punca seorang lelaki di United Kingdom (UK) menikam pasangannya sebanyak lebih 50 kali hingga meninggal dunia.

Metro UK melaporkan, David Xavier, 38, disabitkan bersalah membunuh Andreia Guilherme, 30, dan dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun atas kesalahan berkenaan.

Xavier melakukan perbuatan itu di rumah didiaminya bersama Gullherme di Croydon dekat selatan bandar ini, pada petang 11 Disember 2020.

Mahkamah Old Bailey diberitahu hubungan pasangan itu mula dingin sejak Guilherme bergelar ibu dan cuba untuk berpisah dengan Xavier sebelum meninggal dunia.

Pendakwa Raya Paul Raudnitz KC berkata, tindakan Guilherme itu menyebabkan Xavier berang dan jadi semakin cemburu.

Pada malam sebelum kematiannya, Guilherme menghantar beberapa kiriman mesej kepada rakan dan keluarga memaklumkan pertengkarannya dengan Xavier yang semakin memuncak.

"David gila mengacukan pisau kepada saya," tulis Guilherme dalam kiriman mesej yang dihantar kepada sepupunya.

Pada jam 11.43 malam, dia menghantar mesej kepada rakan lain di Madeira memberitahu Xavier mengacukan lagi pisau ke arahnya bersama rakaman audio.

Raudnitz memberitahu juri itu adalah komunikasi terakhir mangsa sebelum Xavier menikamnya hingga mati dengan pisau dapur.

"Serangan itu serius. Andreia Guilherme mengalami lebih 50 tikaman di bahagian depan dan belakang badannya, ada yang menggunakan kekerasan sehingga merosakkan organ dalamannya dan meninggalkan kesan pisau pada tulang dan tulang rawan rusuknya.

"Antara kecederaan dialami adalah luka di tangan kerana cuba mempertahankan diri," katanya

Dua minit dan 19 saat selepas komunikasi terakhir Guilherme, Xavier menghubungi kakaknya, yang juga tinggal di Croydon, dan memberitahu isterinya sudah meninggal dunia.

Kakaknya bersama suami bergegas ke flat didiami Xavier dan mendapati adiknya memegang pisau dan berlumuran darah dengan mangsa terbaring tidak bernyawa di atas lantai bilik tidur.

Mereka kemudian menghubungi perkhidmatan kecemasan dan Guilherme disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 12:51 PM