Reuters

Beijing: Cuaca panas mencecah 40 darjah Celsius di kebanyakan bandar di China, menyaksikan aksesori dan pakaian pelindung matahari terjual dengan laris, apabila ia semakin menjadi trend.

Misalnya, topi yang mempunyai perlindungan ultraungu (UV) kepada penutup yang dikenali sebagai 'facekinis' yang menyembunyikan sebahagian besar muka laris selepas mendapat permintaan tinggi.

Kebanyakan aksesori itu digunakan wanita yang mencari perlindungan dari kepala hingga ke kaki.

Trend ini membawa kepada ledakan dalam jenama tempatan yang menumpukan pada produk perlindungan matahari seperti Bananain, Beneunder dan OhSunny.

Jenama lain yang lebih besar seperti Anta, Uniqlo, Lululemon dan Decathlon juga menambah topi dan jaket berwarna UV ke dalam pelbagai produk tempatan mereka.

Seorang peniaga, Hong, 34, berkata, pihaknya bersedia menawarkan pakaian bertopi dan berlengan kepada orang ramai yang mahu melindungi diri mereka daripada matahari.

TREND orang ramai di China pakai topi dan pakaian pelindung matahari. FOTO Reuters
TREND orang ramai di China pakai topi dan pakaian pelindung matahari. FOTO Reuters

Ramai pengguna wanita di Asia Timur menyukai kulit cerah dan produk perlindungan matahari juga popular di negara jiran seperti Korea Selatan.

Data daripada platform beli-belah Tmall Alibaba Group menunjukkan, semasa festival beli-belah 618 yang berlangsung Jun lalu, jualan pakaian pelindung matahari generasi baharu meningkat 180 peratus tahun demi tahun.

Ia apabila jumlah peralatan pelindung matahari yang dibeli setiap pengguna menjadi dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelumnya.

Topeng pelindung matahari juga sangat popular, menurut Tmall.

Li Hongmei, 26, yang menetap di Beijing berkata, dia peminat produk baharu berkenaan serta gemar memakai jaket pelindung matahari apabila keluar rumah.

"Semasa Covid-19, saya jarang pakai alat solek kerana ke mana-mana saya memakai pelitup muka.

"Sekarang dah jadi malas nak bersolek jadi saya lebih suka memakai topeng pelindung matahari apabila keluar," katanya kepada Reuters.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 2:36 PM