GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Beijing: Kru kabin di China digalakkan memakai lampin pakai buang dalam pesawat sewa khas ke destinasi dengan risiko jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Selain itu, mereka disarankan untuk mengelak daripada menggunakan tandas bagi mengurangkan risiko dijangkiti virus itu.

Syor itu termaktub dalam Garis Panduan Teknikal Pencegahan dan Kawalan Epidemik Penerbangan Edisi Keenam yang dikeluarkan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), pada 25 November lalu.

Destinasi berisiko tinggi itu ditakrifkan sebagai 500 kes jangkitan bagi setiap sejuta orang.

CNN melaporkan garis panduan itu mengandungi nasihat mengenai amalan kebersihan terbaik dilakukan dalam pesawat dan lapangan terbang di negara itu.

Namun, satu cadangan yang mengesyorkan petugas penerbangan memakai lampin pakai buang untuk mengelak mereka daripada menggunakan tandas mengejutkan dunia.

"Seelok-eloknya, petugas kru kabin memakai lampin pakai buang dan elakkan menggunakan tandas untuk mengelakkan risiko jangkitan," menurut nasihat dinyatakan dalam bahagian berkaitan peralatan perlindungan diri (PPE).

Turut dinyatakan dalam bahagian itu, mereka perlu memakai pelitup muka perubatan, sarung tangan pakai buang berlapis, gogal, penutup kepala, pakaian perlindungan dan pelindung kasut pakai buang.

Sebelum Covid-19 melanda, reka bentuk bilik mandi pesawat menjadi topik perbualan hangat tetapi pandemik ini lebih memfokuskan usaha mencari kaedah penyelesaian baharu.

Syarikat penerbangan Jepun ANA misalnya, awal tahun ini mengumumkan mereka menguji prototaip pintu tandas 'bebas tangan'.

Sementara itu, Boeing berjaya mengemukakan paten pada 'tandas bersih sendiri' yang akan menggunakan sinar ultraungu (UV) untuk membersihkan 99.9 peratus kuman tandas selepas setiap kali penggunaan.

Ogos lalu, seorang wanita yang melakukan perjalanan dari Itali ke Korea Selatan, disahkan dijangkiti Covid-19 berpunca daripada kecuaiannya tidak memakai pelitup muka N95 ketika memasuki tandas dalam pesawat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:00 AM