PENGGUNAAN krim pelindung matahari penting untuk penjagaan kulit.
PENGGUNAAN krim pelindung matahari penting untuk penjagaan kulit.
HM Digital

Petua kecantikan pertama yang perlu diingati pada musim panas adalah lindungi kulit anda. Sama ada dengan mengelak berjemur di bawah matahari terik, memakai pakaian menutupi kulit dan memakai krim pelindung matahari, semuanya sama penting.

Namun, jika perlu berada di bawah sinar matahari sepanjang hari, pemakaian krim pelindung matahari perlu dilakukan secara teratur dari semasa ke semasa.

Untuk melindungi kulit anda dari sinar ultra ungu (UV), krim pelindung matahari dengan SPF 30 atau lebih tinggi adalah yang terbaik. Anda perlu memakainya sebelum keluar, pada waktu yang tetap selepas itu atau selepas berenang.

Anda juga mungkin perlu mengelakkan gaya rambut yang berlebihan sepanjang musim panas kerana rambut anda tidak kebal terhadap pendedahan cahaya matahari.

Ia boleh menjadi rosak semudah kulit atau bibir anda. Warna rambut boleh menjadi pudar, hujung bercabang mungkin terjadi dan rambut anda menjadi kering dan rapuh.

Jadi kenapa tidak cuba membiarkan rambut anda kering secara semula jadi tanpa pengering rambut atau tidak menggunakan seterika rambut pada musim ini?

Tapi jika anda benar-benar tidak boleh keluar tanpa meluruskan atau kerintingkan rambut, pastikan anda melindungi rambut dengan produk perlindungan haba atau memakai masker rambut setiap beberapa minggu untuk membantu mengekalkan rambut anda pada tahap yang terbaik.

Pemakaian pelembap adalah tip kecantikan lain yang perlu diperhatikan, tapi ia tidak hanya pada musim panas saja tapi setiap masa sepanjang tahun.

Khususnya pemakaian pelembap muka dapat memastikan wajah kelihatan lembap dan segar tetapi pastikan menggunakan pelembap yang betul.

Sekiranya produk terlalu ringan, kulit anda boleh menjadi kering. Tapi jika krim muka terlalu berat kulit akan menjadi berminyak dan anda mungkin mula mengalami jerawat.

Selain itu pastikan anda kekal terhidrat. Ia petua yang penting untuk dipertimbangkan semasa musim panas dengan cadangan supaya anda minum lapan gelas air sehari untuk kekal terhidrat.

Minum terlalu sedikit akan mengakibatkan dehidrasi. Minum air yang mencukupi bukan saja baik untuk kesihatan malah baik untuk kulit dan rambut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 11:03 AM