GAMBAR fail pegawai tentera laut Palestin meninjau operasi penggerudian untuk menggali gas. FOTO AFP
GAMBAR fail pegawai tentera laut Palestin meninjau operasi penggerudian untuk menggali gas. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Israel menjalankan rundingan rahsia dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk menggali gas di luar pantai Semenanjung Gaza dikenali sebagai Gaza Marine dengan persetujuan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Yoav Gallant, menurut sumber di wilayah itu.

Sumber itu memberitahu kerajaan Israel mengadakan perbincangan dalaman mengenai pelantar gas yang terletak 36 kilometer dari pantai Gaza di Laut Mediterranean selepas ia dibina akhir tahun lalu.

Arab News pada Jumaat melaporkan, rundingan itu diperbaharui sebagai sebahagian daripada proses politik dan keselamatan yang bermula baru-baru ini antara Israel dan PA dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai pengantara, kata sumber itu.

Mereka menambah, isu membangunkan medan Gaza Marine dan menyediakannya untuk pengekstrakan gas menjadi inti perbincangan yang berlaku semasa mesyuarat di Aqaba dan Sharm El-Sheikh.

Rundingan itu menghimpunkan pegawai keselamatan dan politik dari pihak Palestin dan Israel, di bawah naungan AS.

Jordan dan Mesir juga dilaporkan menyertai perbincangan itu. Pihak Israel diketuai oleh Tzachi Hanegbi, Ketua Majlis Keselamatan Negara Israel dan Ghassan Olyan, penyelaras operasi kerajaan di wilayah yang diduduki.

Israel percaya langkah itu akan memberi manfaat kepada rakyat Palestin dari segi ekonomi, yang mungkin menyumbang kepada mengurangkan ketegangan keselamatan dalam jangka panjang, kata sumber itu.

Mereka menambah mengekstrak gas dari Gaza Marine akan "tertakluk kepada kelulusan Israel."

Sumber itu juga berkata, 'komplikasi' dibangkitkan oleh Israel kerana mereka mendakwa hanya negara yang mempunyai hak untuk menguruskan medan gas secara sah.

Penyelesaian kepada kebuntuan ini ialah Mesir menaja projek perahan gas kerana PA tidak boleh melakukannya sendirian, kata Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 2:05 PM