Reuters

Jakarta: Sembilan mangsa cedera apabila satu letupan berlaku di loji penapisan minyak, PT Pertamina, di barat Indonesia, semalam.

Jurucakap PT Kilang Pertamina Internasional (KPI) berkata, letupan itu berlaku dalam pemampat gas hingga menyebabkan kecederaan ringan kepada mangsa akibat serpihan kaca.

Katanya, insiden itu turut merosakkan beberapa rumah di bandar Dumai di pulau Sumatera.

"Puncanya sedang dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

KPI berkata, pihaknya memohon maaf atas insiden berkenaan.

Katanya, proses pemulihan sedang dijalankan selepas api berjaya dipadamkan.

"Beberapa unit terjejas dan terhenti akibat letupan dan kebakaran, tetapi selebihnya beroperasi seperti biasa.

"Namun, stok bahan api nasional adalah selamat," katanya.

Pada 3 Mac lalu, kebakaran berlaku di terminal minyak Plumpang Pertamina di Jakarta antara yang tertua dan terbesar di negara itu.

Kejadian itu mengorbankan lebih 20 orang.

Sementara itu, tiga orang maut akibat kebakaran pada 26 Mac ke atas kapal tangki yang membawa minyak Pertamina ke pulau Bali dan Lombok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 2:06 PM