ORANG awam memerhatikan kebakaran di loji penapisan minyak. Ratusan penduduk berdekatan kawasan itu terpaksa dipindahkan. FOTO EPA
ORANG awam memerhatikan kebakaran di loji penapisan minyak. Ratusan penduduk berdekatan kawasan itu terpaksa dipindahkan. FOTO EPA
LOJI penapis minyak terbakar dan meletup menyebabkan lebih 20 penduduk cedera. FOTO EPA
LOJI penapis minyak terbakar dan meletup menyebabkan lebih 20 penduduk cedera. FOTO EPA
BERNAMA

Jakarta: Sebuah loji penapis minyak milik Pertamina di Indramayu di Jawa Barat, kira-kira 200 kilometer dari sini, terbakar dan meletup, menyebabkan lebih 20 penduduk cedera, manakala ratusan penduduk berdekatan kawasan itu terpaksa dipindahkan.

Menurut laporan media tempatan, rumah-rumah penduduk dan masjid yang berdekatan loji berkenaan turut mengalami kerosakan akibat kesan letupan kuat.

Setakat 9 pagi waktu Indonesia Barat, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia mengenai kemalangan jiwa dalam insiden berkenaan.

Pertamina dalam kenyataan memaklumkan, sebuah tangki di kilang (loji) Pertamina Balongan itu terbakar 12.45 tengah malam tadi, ketika berlaku hujan lebat dan petir di kawasan berkenaan.

"Punca kebakaran belum diketahui, saat ini Pertamina Balongan sedang fokus melakukan pemadaman api di kilang yang berlokasi di Desa Balongan, Kabupaten Indramayu, Jawa Barat, yang terletak kira-kira 200km dari Jakarta," menurut kenyataan itu.

Beberapa video kebakaran dan letupan dahsyat yang berlaku susulan kebakaran itu tular di media sosial di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 11:13 AM