RUMAH kontena dari Qatar sedang disediakan di wilayah Adiyaman, Turkiye. FOTO Agensi
RUMAH kontena dari Qatar sedang disediakan di wilayah Adiyaman, Turkiye. FOTO Agensi
Agensi

Adiyaman (Turkiye): Rumah kontena dari Qatar sedang disediakan di wilayah Adiyaman, Turkiye.

Portal AA melaporkan, rumah kontena berkenaan disediakan kepada penduduk terjejas akibat gempa bumi yang berlaku pada 6 Februari lalu.

Menurut sumber, sebanyak 1,000 kontena sudah diserahkan kepada pegawai kerajaan dan 600 daripadanya ditempatkan berhampiran terminal bas utama di bandar itu.

Bandar kontena (rumah kontena yang diletakkan di kawasan luas) dilaksanakan kerajaan Turki dengan bantuan Agensi Bencana AFAD dan sumbangan orang ramai termasuk dari negara luar.

Ia dibangunkan di 11 wilayah di negara itu untuk menempatkan mangsa gempa bumi terbabit.

Qatar turut memberi bantuan dalam usaha mencari dan menyelamat sejak hari kejadian di selatan Turkiye.

Jurucakap Kementerian Luar negara itu, Majed al-Ansari berkata, bantuan oleh negara Teluk itu dianggarkan lebih 247.2 juta riyal (kira-kira RM292 juta).

Selain Adiyaman, gempa bermagnitud 7.7 dan 7.6 menggegarkan wilayah Adana, Diyarbakir, Elazig, Hatay, Gaziantep, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Bencana berkenaan meragut lebih 50,000 nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 2:32 PM