ChatGPT dipaparkan pada peranti berhampiran sebuah sekolah awam di Brooklyn, New York. FOTO AP
ChatGPT dipaparkan pada peranti berhampiran sebuah sekolah awam di Brooklyn, New York. FOTO AP
Agensi

Washington: Chatbot lulus peperiksaan di sekolah undang-undang Amerika Syarikat (AS) selepas menulis esei mengenai topik undang-undang perlembagaan berhubung cukai dan pelanggaran hak.

Chatbot merujuk kepada program komputer yang direka bentuk untuk menyerupai perbualan antara pengguna internet.

ChatGPT daripada OpenAI, sebuah syarikat AS yang mendapat suntikan dana daripada Microsoft menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjana teks dengan mudah.

Hasilnya sangat menakjubkan sehingga pendidik memberi amaran bahawa ia boleh membawa kepada penipuan berleluasa, malah memberi isyarat kaedah pengajaran bilik darjah tradisional akan berakhir.

Profesor di Fakulti Undang-Undang Universiti Minnesota, Jonathan Choi memberi ChatGPT dengan ujian sama dihadapi pelajar.

Ia terdiri daripada 95 soalan aneka pilihan dan 12 soalan esei.

Dalam kertas putih bertajuk 'ChatGPT ke sekolah undang-undang' yang diterbitkan pada Isnin, beliau dan pengarang bersama melaporkan bahawa aplikasi itu memperoleh C+ secara keseluruhan.

Walaupun markah itu lulus, aplikasi berkenaan berada di kelas bawah dalam kebanyakan mata pelajaran dan 'tersungkur' pada soalan aneka pilihan membabitkan matematik.

"Bukan pelajar yang hebat.

"Dalam menulis esei, ChatGPT mempamerkan pemahaman kuat mengenai peraturan undang-undang asas dan mempunyai organisasi serta komposisi konsisten," tulis penulis.

Namun, ia sukar untuk mengesan isu apabila diberi arahan terbuka, kemahiran teras dalam peperiksaan sekolah undang-undang.

Pegawai berkuasa di New York melarang penggunaan ChatGPT di sekolah, tetapi Choi mencadangkan ia boleh menjadi pembantu pengajaran.

"Secara keseluruhan, ChatGPT bukanlah pelajar undang-undang hebat.

"Kami menjangkakan kerjasama dengan manusia, model bahasa seperti ChatGPT sangat berguna kepada pelajar undang-undang yang mengambil peperiksaan dan peguam," ciapnya di Twitter sebagai maklum balas kepada persoalan pengikut.

Katanya, aplikasi itu mempunyai 'firasat' betul kerana ChatGPT membolehkan jawapan dengan menggunakan tatabahasa sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 1:08 PM