HAKIM menggunakan AI ChatGPT bagi menyampaikan keputusan. FOTO Fail AP.
HAKIM menggunakan AI ChatGPT bagi menyampaikan keputusan. FOTO Fail AP.
BERNAMA

Mexico: Hakim dari bandar Cartegena di Colombia, Juan Manuel Padilla menggunakan chatbot kecerdasan buatan (AI) iaitu ChatGPT untuk membuat keputusan mengenai satu kes mahkamah, lapor Sputnik.

"Buat pertama kali keputusan kes mahkamah di negara ini mengunakan AI. Namun, memahami kebimbangan ramai, keputusan yang saya buat sepenuhnya autonomi. Tetapi AI membantu untuk menyampaikan dan membuat keputusan," kata Padilla kepada penyiar Blu Radio.

Beliau berkata penggunaan alat sedemikian dalam amalan kehakiman negara itu tidak bercanggah dengan undang-undang Colombia dan membantu menjimatkan masa hakim.

Sejak tercetusnya wabak Covid-19, mahkamah Colombia telah menggunakan instrumen digital dan chatbot satu daripadanya.

"Malah ChatGPT boleh menjangka keputusan yang mungkin dibuat oleh mahkamah kerana prinsip kesaksamaan dikekalkan sambil mempertimbangkan duluan, jadi ia berfungsi sebagai parameter kepada keputusan itu. Penggunaan instrumen ini dan lain-lain tidak menjadikan hakim malas, keputusan adalah masih berautonomi dan proprietary (tuan punya)," kata hakim itu.

Pelancaran ChatGPT OpenAI pada akhir November 2022 menerima pelbagai reaksi kerana keupayaannya meniru perbualan manusia dan menjana teks berdasarkan gesaan pengguna. Ada yang berpendapat ia sesuai untuk membangunkan kod dan ada yang berpandangan ia berpotensi untuk penyalahgunaan seperti pelajar menggunakan model itu untuk menulis esei.

Pada Selasa, seorang penuntut universiti di Rusia dapat menyelesaikan tesisnya menggunakan ChatGPT dan berjaya lulus dengan gred "memuaskan", menurut universiti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 1:48 PM