POLIS mengangkat mayat mangsa. FOTO Agensi
POLIS mengangkat mayat mangsa. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Lelaki di Thailand, ditemukan meninggal dunia akibat renjatan elektrik ketika sedang mengecas telefon bimbitnya.

Kematian pekerja kedai barangan kemas itu disedari rakannya, selepas dia tidak datang bekerja, tiga hari berturut-turut.

Rakan Puttawat Kamwan, 34, ke rumah lelaki itu di Samut Prakan, untuk menziarahinya sebelum mendapati dia tidak bernyawa dan telefon bimbit berada pada tangannya.

Rakan sekerjanya, Pantatip Kanthong, 22, berkata, mereka risau lelaki itu tidak datang kerja selama tiga hari dan gagal dihubungi.

"Jadi, selepas kerja, kami pergi ke biliknya tetapi kami dapati pintu bilik itu terbuka.

"Kami masuk ke dalam (bilik) bersama pemilik rumah sebelum menemuinya dalam keadaan macam itu," katanya.

Pemilik bangunan, Nattanit Hawharn, 31, berkata, mangsa menetap di situ seorang diri dan memang suka menyendiri di dalam bilik menyebabkan dia tidak terfikir kejadian buruk berlaku ke atas lelaki itu.

"Biasanya dia duduk berehat di biliknya atau minum bir tin selepas bekerja.

"Kami melihat pintu rumahnya dibuka. Kami fikir dia hanya sakit," katanya.

Pegawai Penyiasat Balai Polis Bang Phli, Pongnarin Nontanok mengesahkan punca kematian itu selepas tidak menemukan sebarang kesan serangan.

"Puttawat Kamwan masih berbaring di atas katilnya. Lengan kanannya turut menyentuh telefon yang sedang dicas.

"Dia mungkin terbunuh kerana litar pintas.

"Daripada bukti, dia dianggarkan meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga hari," katanya.

Katanya, laporan siasatan awal mendapati ada telefon bimbit dan kabel pengecas sebelum mereka memutuskan renjatan elektrik sebagai punca kematian.

"Ini juga disahkan dengan laporan bedah siasat di Hospital Ramathibodi Chakri Naruebodindra," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 11:48 AM