LOKASI mangsa ditemui terbaring selepas terkena renjatan elektrik. FOTO Gambar Ihsan Polis.
LOKASI mangsa ditemui terbaring selepas terkena renjatan elektrik. FOTO Gambar Ihsan Polis.
Juwan Riduan


Labuan: Lelaki ditemui maut dipercayai akibat renjatan arus elektrik di kawasan penempatan masyarakat pelarian di Kampung Saguking, di sini, semalam.

Mangsa berusia 26 tahun itu ditemui penduduk kampung kira-kira 11 malam, tidak sedarkan diri dekat titi kayu sebelum membuat laporan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, sepasukan polis ke lokasi sebaik menerima laporan dan siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai buruh serta dihantar ke hospital namun disahkan meninggal dunia.

"Punca kematian dipercayai akibat terkena renjatan elektrik. Pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa juga mendapati terdapat beberapa kesan melecur di bahagian badan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, mangsa dipercayai terkena renjatan daripada wayar elektrik yang disambungkan ke kawasan penempatan berhampiran mangsa dan tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Menurutnya kes itu diklasifikasikan mati mengejut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang lelaki ditemui mati di biliknya selepas dipercayai meminum sabun peluntur di Kampung Sungai Keling, kelmarin.

Katanya, Mayatnya ditemui pada 7.24 malam selepas jirannya melaporkan kepada polis apabila menghidu bau busuk dari arah bilik mangsa.

"Mangsa ditemui atas katil dan terdapat botol bahan peluntur di sisi katil itu. Dia kali terakhir dilihat pada Sabtu lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 6:15 PM