Foto hiasan.
Foto hiasan.
AFP

New Delhi: Seorang eksekutif Wells Fargo, gergasi perbankan Amerika Syarikat (AS) yang dipecat selepas dituduh membuang air kecil pada penumpang dalam pesawat Air India sudah ditahan selepas lebih sebulan menghilangkan diri.

Shankar Mishra, bekas naib presiden operasi bank berkenaan di India, melarikan diri daripada pihak berkuasa selepas seorang wanita warga emas mengadu tentang insiden pada November lalu kepada pengurusan syarikat penerbangan itu.

Laporan media berkata Mishra telah mematikan telefonnya tetapi tetap berhubung dengan rakan-rakannya melalui media sosial dan membuat transaksi kad kredit di Bangalore, yang menyebabkan pihak berkuasa berjaya mengesan lokasinya.

Dia dibawa ke ibu kota New Delhi di mana polis sedang menyiasat dakwaan itu, kata laporan itu.

Jurucakap polis di Delhi mengesahkan penahanan Mishra kepada AFP tanpa memberikan sebarang butiran lain.

Wells Fargo berkata pada Jumaat pekerjanya telah dipecat selepas dakwaan "amat mengganggu" itu terbongkar.

Mishra dilaporkan mabuk semasa dalam perjalanan dari New York ke New Delhi pada 26 November apabila dia didakwa membuka zip seluarnya dan membuang air kecil pada seorang wanita berusia 72 tahun yang duduk di kelas perniagaan.

Syarikat penerbangan itu berkata ia gagal menangani insiden itu dengan betul dan sedang mengkaji semula polisinya mengenai penyajian alkohol semasa penerbangan.

"Air India mengakui bahawa ia boleh mengendalikan perkara ini dengan lebih baik, baik di udara mahupun di darat dan komited untuk mengambil tindakan," kata ketua eksekutif Campbell Wilson dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Syarikat penerbangan itu, yang baru-baru ini dibeli oleh konglomerat Kumpulan Tata selepas berdekad-dekad di bawah kawalan kerajaan, telah menghadapi kritikan teruk kerana pengendaliannya terhadap aduan wanita itu.

Pengawal selia penerbangan India minggu ini menegur pengurusannya supaya tidak melaporkan kejadian itu pada masa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 5:16 PM