GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Agensi

New Delhi: Seorang pesakit denggi di Uttar Pradesh di utara India meninggal dunia selepas didakwa diberi jus buah-buahan dan bukannya platelet darah.

Pradeep Pandey, 32, diberi transfusi dengan jus lemon manis dan bahan kimia dalam pek darah oleh hospital swasta, dakwa keluarganya.

Portal Independent melaporkan, selepas keadaan kesihatan Pandey mula merosot, dia dipindahkan ke hospital lain sebelum disahkan meninggal dunia.

Doktor di hospital kedua memaklumkan kepada saudara-mara Pandey beg platelet itu adalah palsu dan sebaliknya mengandungi jus.

Ketika video 'beg platelet' palsu tular di media sosial, Timbalan Ketua Menteri Uttar Pradesh Brajesh Pathak mengarahkan Hospital Global dan Pusat Trauma - hospital swasta di bandar Prayagraj tempat kejadian itu berlaku ditutup.

"...atas arahan saya, hospital ditutup dan paket platelet sudah dihantar untuk ujian.

"Jika didapati bersalah, tindakan tegas akan diambil terhadap hospital," kata Pathak.

Saurabh Mishra, pemilik hospital swasta itu berkata, platelet itu dibawa dari kemudahan perubatan berbeza.

Keluarga pesakit diminta menyusun platelet darah selepas kiraan plateletnya menurun kepada 17,000, Mishra memberitahu agensi berita Press Trust of India.

Beliau menambah Pandey mempunyai reaksi selepas tiga unit 'platelet' dipindahkan.

"Mereka membawa lima unit platelet dari Hospital SRN. Selepas pemindahan tiga unit, pesakit mempunyai reaksi. Jadi kami hentikannya," katanya sambil menambah asal platelet perlu dikesan kerana mereka mempunyai pelekat hospital SRN pada mereka.

Pandey jatuh sakit pada 14 Oktober dan dimasukkan ke hospital swasta dan diberitahu dia menghidap denggi, kata abang iparnya Saurabh Tripathi.

"Kami diberitahu dia menghidap denggi selepas ujian dibuat. Pada 16 Oktober, kami diberitahu dia memerlukan lapan unit platelet. Kami berjaya mengatur tiga unit dari dalam keluarga," kata Tripathi kepada The Indian Express.

Dia didakwa menghubungi anak lelaki pemilik bangunan hospital itu dan membayarnya 25,000 rupees (RM1,435) untuk lima unit.

"Apabila empat unit platelet diberikan kepada abang ipar saya, keadaannya semakin teruk. Kemudian kami membawanya ke hospital swasta lain. Doktor di sana berkata terdapat sedikit pembekuan darah dalam badan," tambah Tripathi.

Pandey meninggal dunia pada 19 Oktober. Panel tiga anggota dibentuk oleh kerajaan untuk menyiasat kecuaian perubatan sementara hospital masih ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 2:01 PM