Pesawat AirAsia India.
Pesawat AirAsia India.
BERNAMA

New Delhi: Air India merancang untuk mengambil alih syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia India selepas pemiliknya, Tata Group mahu menyatukan perniagaan syarikat penerbangan kumpulan itu sendiri, menurut laporan media India semalam.

Tata Group, telah membeli AirAsia India pada Januari lepas dan memiliki 83.67 peratus bahagian saham, sedang berusaha untuk membangunkan Air India menjadi jenama 'syarikat penerbangan bertaraf dunia'.

Air India telah berhubung dengan Suruhanjaya Persaingan India (CCI) India bagi menggabungkan operasi AirAsia India dengan perniagaannya sendiri, agensi berita Press Trust of India melaporkan.

Cadangan itu berkaitan dengan pengambilalihan keseluruhan modal saham ekuiti AirAsia India oleh Air India Ltd, kata laporan itu.

Baki kepentingan dalam AirAsia India sebanyak 16.33 peratus dimiliki oleh AirAsia Group dari Malaysia, syarikat penerbangan itu telah memulakan perkhidmatan pada 2014.

AirAsia India dilancarkan dalam perkongsian tiga hala antara syarikat Malaysia dan dua firma India, termasuk Tata yang kemudiannya membeli rakan kongsi India terbabut dan terus menaikkan kepentingan mereka dalam rencana itu.

Tata juga memiliki 51 peratus kepentingan dalam Vistara Airline, yang bermula pada 2013 dengan usaha sama Singapore Airlines.

Tahun ini, ia menjadi pemilik Air India Express, syarikat penerbangan tambang rendah Air India, yang mana ia dibeli sebagai sebahagian daripada tawaran hutang dan ekuiti bernilai US$ 2.4 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 11:21 AM