Kidane Zekarias Habtemariam ditangkap Ahad lalu. FOTO Agensi/Interpol
Kidane Zekarias Habtemariam ditangkap Ahad lalu. FOTO Agensi/Interpol
AP

Abu Dhabi: Pelarian Eritrea paling dikehendaki kerana menjadi dalang dalam kes penyeludupan manusia ditahan di Sudan, Ahad lalu.

Penahanan suspek dikenali sebagai Kidane Zekarias Habtemariam itu membabitkan kerjasama pihak berkuasa Emiriyah Arab Bersatu (UAE) serta Polis Antarabangsa (Interpol).

Kementerian Dalam Negeri UAE dalam kenyataan diterbitkan The Khaleej Times berkata, suspek ditahan dalam operasi Interpol yang diketuai UAE, Ahad lalu.

Menteri Dalam Negeri UAE, Saif Zayed Al Nahyan dalam ciapan di Twitter berkata, operasi antarabangsa itu berlangsung selama sembilan bulan dan turut membabitkan pihak berkuasa Belanda, Ethiopia dan Sudan.

Dalam pada itu, Pengarah Direktorat Agung Anti-Narkotik Persekutuan UAE, Saeed Abdullah al-Suwaidi dalam satu kenyataan yang dipetik Interpol berkata, kejayaan itu adalah berkat profesionalisme dan dedikasi polis.

Habtemariam didakwa mengetuai organisasi jenayah yang menculik, memeras dan membunuh pendatang Afrika Timur yang cuba menyeberangi Laut Mediterranean dari Libya, kata agensi polis yang berpangkalan di Perancis dalam satu kenyataan dalam talian.

Kejayaan itu selepas pihak berkuasa UAE mula menjejaki organisasi Habtemariam dan ahli keluarganya, mendedahkan corak pengubahan wang haram yang membawa mereka ke Sudan.

Interpol mula memantau aktiviti Habtemariam pada 2019.

Habtemariam diberikan dua notis merah Interpol iaitu satu dari Ethiopia manakala satu lagi dari Belanda.

Pihak berkuasa Belanda mendakwa Habtemariam menjalankan kem di Libya yang menempatkan ribuan pendatang.

Habtemariam disabitkan tanpa kehadiran dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas melarikan diri dari tahanan di Ethiopia semasa dibicarakan atas tuduhan penyeludupan manusia pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 12:55 PM