TEHRAN. FOTO fail AFP
TEHRAN. FOTO fail AFP
Reuters

Tehran: Polis Iran menahan beberapa pemain bola sepak terkenal dalam serbuan di parti yang menghidangkan minuman alkohol pada malam sambutan tahun baharu, lapor media tempatan.

Agensi berita Tasnim berkata, beberapa pemain masih aktif dan bekas ahli kelab bola sepak terkemuka Tehran yang tidak dikenali, ditahan di parti itu dekat timur ibu negara.

"Beberapa pemain berada dalam keadaan tidak normal kerana pengambilan alkohol," lapor Tasnim, tanpa memberikan butiran lanjut.

Agensi berita YJC berkata, perhimpunan itu diadakan sempena pesta ulang tahun dan semua yang ditahan sudah dibebaskan kecuali seorang individu yang bukan pemain bola sepak.

Agensi berita Fars memetik seorang pendakwa sebagai berkata, satu kes sudah difailkan terhadap mereka yang sudah ditahan dan maklumat lanjut akan dikongsikan kemudian.

Pergaulan bebas berlainan jantina tanpa ikatan sah dan minum arak adalah dilarang di bawah undang-undang Islam di Iran.

Sekatan sosial adalah antara isu yang mencetuskan kekacauan besar-besaran sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berikutan kematian dalam tahanan seorang wanita yang dituduh melanggar peraturan berhubung etika berpakaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 10:35 AM