SEORANG lelaki berjalan melewati sepanduk yang menggambarkan peluru berpandu di sepanjang jalan di Tehran. FOTO AFP
SEORANG lelaki berjalan melewati sepanduk yang menggambarkan peluru berpandu di sepanjang jalan di Tehran. FOTO AFP
BERNAMA-IRNA

Ankara: Letupan kedengaran di beberapa bandar di Iran awal Jumaat di tengah-tengah dakwaan serangan Israel ke atas negara itu.

Letupan dilaporkan berlaku di Isfahan, di tengah Iran dan ke barat Tabriz yang terletak di barat laut negara itu, lapor Agensi Anadolu yang memetik Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).

Seorang pegawai kanan tentera di Isfahan berkata letupan kedengaran di bandar itu adalah kesan tembakan senjata antipesawat terhadap objek mencurigakan, lapor sebuah lagi agensi berita di negara itu, Tasnim.

IRNA juga menyatakan bunyi letupan itu di Tabriz adalah berikutan pengaktifan sistem pertahanan udara.

Stesen televisyen Kerajaan Iran mengesahkan letupan besar di Isfahan tetapi tiada kemudahan nuklear terjejas atau menjadi sasaran di pusat bandar.

Agensi Berita Mehr berkata tiga dron dimusnahkan di ruang udara Isfahan.

IRNA berkata sistem pertahanan udara negara itu telah diaktifkan di beberapa wilayah.

Tiada komen dikeluarkan Israel terhadap pelancaran serangan ke atas Iran.

Ketegangan antara Iran dan Israel meningkat selepas Tehran melancarkan serangan misil dan dron ke atas Israel pada Sabtu lepas sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas konsulat Iran di Syria yang meragut nyawa tujuh penasihat tenteranya.

Israel berkata akan ia bertindak balas secara ketenteraan kepada serangan Iran hujung minggu lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 5:08 PM