KEDAI emas berkenaan. FOTO Agensi
KEDAI emas berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Seorang buruh dari Myanmar tersilap langkah apabila bersembunyi di rumah anggota polis selepas mencuri gelang tangan bernilai 150,000 baht (kira-kira RM19,112) dari sebuah kedai barangan kemas di Bang Bon dekat sini, semalam.

Bangkok Post melaporkan, akibatnya, dia ditahan dan tangkapan dibuat susulan aduan Pilaiwan Chalaemchart iaitu pekerja di kedai emas Thai Siri di Nai Liang.

Pekerja itu melaporkan kecurian lima gelang emas kepada polis Bang Khuntian, kira-kira 10 pagi.

Dakwa pekerja berkenaan, suspek yang memakai pelitup muka masuk ke dalam premis dan meminta dia mengambil beberapa gelang dari rak jualan.

Suspek kemudian merampas barangan kemas itu daripada tangan pekerja terbabit dan melarikan diri ke pasar.

Polis dimaklumkan oleh seorang saksi yang dia nampak suspek menukar pakaian dan berlari masuk ke dalam sebuah rumah di hujung pasar yang pintu utamanya dibiarkan terbuka.

Bagaimanapun, suspek tidak sedar rumah itu kepunyaan Varayuth Sukhawat iaitu Timbalan Pesuruhjaya Wilayah Polis Wilayah 7, yang juga pemilik pasar.

Sebaik polis tiba di rumah, mereka ternampak suspek bersembunyi di pokok.

Ketika disoal siasat, suspek dikenali sebagai Tat Au, 30, dilaporkan memberitahu polis yang dia bekerja di sebuah kilang tekstil di daerah Bang Kae dengan pendapatan bulanan 5,000 baht (kira-kira RM637) iaitu jauh di bawah gaji minimum.

Menurut suspek, dia meminjam 70,000 baht (kira-kira RM8,919) daripada seorang pemberi pinjaman untuk menyara keluarga di Myanmar dan mencuri kerana terdesak untuk membayar hutang sebanyak 3,000 baht (kira-kira RM382) setiap bulan.

Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga daripada lima gelang tangan yang dicuri dan suspek mendakwa dia kehilangan dua yang lain ketika melarikan diri di pasar.

Suspek kemudian dibawa ke Bang Stesen Khuntian untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 11:39 AM