DUA singa yang dipelihara di sebuah rumah di Chonburi. FOTO khaosodenglish.com
DUA singa yang dipelihara di sebuah rumah di Chonburi. FOTO khaosodenglish.com
Agensi

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand, baru-baru ini, merampas dua singa peliharaan dari sebuah rumah sewa di wilayah timur Chonburi selepas aduan mengenai haiwan itu yang dikatakan berkeliaran di jalan, lapor portal Straits Times.

Aduan itu disiarkan di Facebook , awal minggu ini, yang mengatakan bahawa dua singa dipelihara oleh penyewa rumah itu dilihat berkeliaran di jalan beberapa kali, menyebabkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan penduduk tempatan.

Polis Chonburi dan pegawai dari Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan (DNP) pada 25 Januari lalu menyerbu rumah di daerah Bang Lamung dan menemukan singa jantan dan singa putih, berumur 10 bulan, serta dua anjing baka Rottweiler di rumah satu tingkat itu.

Rumah itu didiami oleh Jarinyaporn Kaewsai, 28, dan dua pekerjanya.

Jarinyaporn mengakui memiliki haiwan itu dengan menjelaskan bahawa singa itu kadang-kadang melarikan diri apabila pintu yang dikawal secara elektronik tidak berfungsi.

Dia mengemukakan bukti pembelian singa dari zoo di wilayah Nakhon Pathom dengan harga 500,000 baht (kira-kira RM66,000) setiap satu pada Disember 2022 ketika ia berusia 45 hari.

Pegawai bagaimanapun mendapati terdapat dua percanggahan iaitu dokumen itu menunjukkan dua singa jantan, manakala nombor mikrocip untuk memiliki seekor singa hanya sepadan dengan satu daripada singa di pangkalan data.

Singa ialah haiwan yang dilindungi di bawah Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (Cites).

Pegawai juga mendapati bahawa pemilik tidak memfailkan pendaftaran pemilikan singa dengan DNP, sekali gus melanggar undang-undang mengenai haiwan yang dilindungi.

Jarinyaporn menambah bahawa dia dalam proses menjual singa itu kembali ke zoo, yang akan mengambilnya dalam masa dua hari.

Pegawai DNP menggunakan tembakan ubat penenang pada singa itu sebelum mengangkut haiwan itu ke Pusat Pembiakan Hidupan Liar Bang Lamung untuk siasatan lanjut, dan polis mendakwa Jarinyaporn kerana melanggar Akta Perizaban dan Perlindungan Haiwan Liar.

Polis berkata, ladang yang menjual singa kepada Jarinyaporn adalah pertubuhan sama yang menjual seekor anak singa kepada seorang wanita Thailand, yang didakwa memiliki haiwan dilindungi yang tidak dilaporkan.

Polis berkata, kegagalan melaporkan pemilikan singa boleh dihukum penjara maksimum setahun, denda sehingga 100,000 baht (kira-kira RM13,000) atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 1:31 PM