POLIS menahan mak nyah berkenaan susulan laporan mangsa.
POLIS menahan mak nyah berkenaan susulan laporan mangsa.
Agensi

Bangkok: Polis bandar ini menahan seorang mak nyah warga tempatan kerana mencuri 189,000 baht (kira-kira RM24,600) daripada seorang pelancong Sri Lanka, dua minggu lalu.

Portal Thaiger melaporkan, mangsa, Suras, 30, membuat aduan di Balai Polis Huay Kwang pada Ahad, 9 April lalu, selepas mendapati wangnya hilang.

Suras berkata, sebelum kejadian, dia minum arak di sebuah bar dekat kejiranan Asoke bersama suspek dikenali Naphatsara atau Lookpad berusia 30 tahun, pada 4 pagi.

Suras mengakui bahawa dia sangat mabuk, dan dia dan Lookpad pergi ke hotelnya di kawasan Huay Kwang.

Lelaki itu mendakwa dia melakukan hubungan seks dengan Lookpad, dan kemudiannya tertidur.

Sejurus lelaki itu sedar daripada tidur pada 8 pagi, Lookpad sudah tiada, begitu juga wangnya sebanyak AS$5,500 (kira-kira RM24,555).

Pegawai dari Balai Polis Huay Kwang akhirnya menangkap Lookpad di tempat tinggalnya dekat kawasan Charan Sanit Wong di sini dan dia menafikan tuduhan itu.

Lookpad pada mulanya dituduh melakukan kecurian pada waktu malam.

Jika sabit kesalahan, Lookpad boleh dihukum penjara antara satu hingga lima tahun dan denda antara 2,000 (kira-kira RM260) hingga 10,000 baht (kira-kira RM1,301) mengikut Seksyen 335(1) Undang-undang Jenayah.

Itu bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di kawasan Asok, Bangkok.

Dalam kes yang sama tahun lalu, seorang mak nyah dirakam dalam video berpura-pura memeluk seorang lelaki warga asing berjalan di atas kaki lima dan kemudian meragut rantai emas yang dipakainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 10:13 AM