POLIS berkawal di lokasi kejadian letupan di sebuah balai polis di Bandung, semalam. FOTO Reuters
POLIS berkawal di lokasi kejadian letupan di sebuah balai polis di Bandung, semalam. FOTO Reuters
Agensi

Jakarta: Suspek serangan bom berani mati di Kota Bandung, pernah dipenjarakan atas sabitan kes keganasan.

Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo mengesahkan, suspek itu dikenali sebagai Agus Sujatno atau Agus Muslim dipenjarakan empat tahun atas kesalahan kes pengeboman di Cicendo, pada 2017.

"Suspek pernah ditangkap kerana kejadian bom Cicendo dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun.

"Dia dibebaskan pada September atau Oktober 2021," katanya, semalam seperti dilaporkan portal Kompas.

Katanya, polis kini memburu suspek lain yang turut membantu Agus melakukan serangan itu.

Dalam pada itu, Jakarta Post melaporkan, dua orang terbunuh, manakala lapan cedera apabila seorang individu yang disyaki militan meletupkan dirinya di balai polis Astana Anyar, Bandung, kira-kira 8.20 pagi, semalam.

Ketua Biro Penerangan Awam Polis Negara, Brigedier Jeneral Ahmad Ramadhan berkata, pihak berkuasa sedang berkoordinasi dengan unit memerangi keganasan untuk menyiasat kejadian itu yang mengorbankan suspek penyerang dan seorang pegawai polis.

Ibnu Suhendra dari Agensi Antikeganasan Indonesia (BNPT) tidak menolak Kumpulan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) kemungkinan dalang di sebalik serangan itu.

"JAD pernah melakukan serangan sama di Indonesia," katanya kepada Metro TV.

Dalam pada itu, Ketua Polis Jawa Barat, Inspektor Jeneral Suntana berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat sebuah motosikal biru yang ditemukan di lokasi kejadian yang kemungkinan digunakan penyerang.

Katanya, satu nota diselitkan pada kenderaan itu yang membawa mesej menolak kod jenayah baharu yang disahkan penggubal undang-undang, Selasa lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Bandung, Aswin Sipayung berkata, seorang lelaki menceroboh masuk sambil memegang senjata tajam dan cuba menghubungi polis untuk membuat panggilan.

"Lelaki itu nekad meletupkan bom pada badannya hingga mengorbankan dirinya dan mencederakan tiga pegawai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 11:42 AM