TANAH Perkuburan Awam (TPU) Sirnaraga yang terjejas akibat tanah runtuh. FOTO Detik.Com
TANAH Perkuburan Awam (TPU) Sirnaraga yang terjejas akibat tanah runtuh. FOTO Detik.Com
Agensi

Jakarta: Runtuhan tanah akibat hujan lebat mengakibatkan kira-kira 25 kubur di Tanah Perkuburan Awam (TPU) Sirnaraga, Bandung, Indonesia, terjejas.

Tinjauan Detik.Com di lokasi kejadian mendapati, kain kafan jenazah di tanah perkuburan yang runtuh itu jelas kelihatan dan terkeluar dari liang lahad.

Lokasi kubur itu berdekatan Sungai Cilimus.

Ketua Polis Cicendo Kompol H Sadewo berkata, hujan lebat yang melanda wilayah Cicendo mengakibatkan banjir.

Katanya, air deras di kawasan TPU Sirnaraga itu mengakibatkan tebing Sungai Cilimus runtuh.

"Sepuluh daripada 25 kubur itu rosak, manakala tujuh daripadanya akan dipindahkan dengan 15 kubur lagi boleh diperbaiki.

"Tujuh kubur itu membabitkan jenazah lima kanak-kanak dan dua orang dewasa," katanya kepada detikJabar.

Menurutnya, lebar keruntuhan Sungai Cilimus itu kira-kira 30 meter.

"Kita akan bekerjasama dengan petugas TPU Sirnaraga untuk proses pemindahan kubur yang rosak.

"Pihak TPU akan akan berbincang dengan waris tujuh kubur yang bakal dipindahkan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 11:42 AM