POLIS melakukan pemeriksaan susulan serangan di kelab malam di Bali pada 2002. FOTO AP
POLIS melakukan pemeriksaan susulan serangan di kelab malam di Bali pada 2002. FOTO AP
AP

Jakarta: Indonesia membebaskan individu yang disabitkan atas kesalahan membuat bahan letupan dalam serangan pengeboman maut yang mengorbankan lebih 200 individu di Bali pada 2002.

Walaupun menerima bantahan keras Australia yang kehilangan puluhan rakyat dalam serangan berkenaan, Indonesia membebaskan militan Islam berkenaan yang sudah menjalani kira-kira separuh daripada hukuman penjara 20 tahunnya.

Pihak berkuasa Indonesia berkata, Umar Patek, 55, berjaya direformasi dalam penjara dan mereka akan menggunakannya untuk mempengaruhi militan lain supaya menjauhi keganasan.

Jurucakap Jabatan Koreksional di Kementerian Kehakiman, Rika Aprianti berkata, Umar Patek menerima beberapa siri pengurangan hukuman yang sering diberikan kepada banduan pada cuti besar kerana berkelakuan baik.

Terbaharu, dia diberi pengurangan selama lima bulan sempena Hari Kemerdekaan Indonesia, pada 17 Ogos.

Katanya, pihak berkuasa akan memantau Umar Patek dan dia perlu menyertai program bimbingan sehingga parolnya tamat pada 29 April 2030.

"Jika dia membuat sebarang pelanggaran semasa tempoh parolnya maka dia akan kembali ke penjara," katanya.

Beliau berkata, Umar Patek diiringi dari penjara Porong di wilayah Jawa Timur oleh skuad antikeganasan Polis Negara dikenali sebagai Densus 88 pulang ke rumah keluarganya di Surabaya, ibu kota wilayah itu.

UMAR Patek. FOTO fail Reuters
UMAR Patek. FOTO fail Reuters

Mangsa pengeboman, Peter Hughes yang terselamat menyifatkan pembebasan Umar Patek itu sesuatu yang tidak wajar.

"Saya berharap kerajaan Australia mengambil sikap tegas terhadap pembebasan awal itu.

"Kami tidak boleh mengubah apa yang kerajaan Indonesia mahu lakukan kepada rakyat mereka sendiri, tetapi sekurang-kurangnya kami sebenarnya boleh bersuara," katanya kepada Australian Broadcasting Corp.

Hisyam Alizein, juga dikenali sebagai Umar Patek, adalah anggota kumpulan bersekutu Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah yang disabitkan atas letupan di dua kelab malam di Pantai Kuta.

Umar Patek didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Jakarta Barat kerana membantu membuat bom kereta yang diletupkan individu lain di luar Kelab Sari di Kuta, pada malam 12 Oktober 2002.

Beberapa ketika sebelum itu, bom yang lebih kecil dalam beg galas diletupkan oleh pengebom berani mati di kelab malam Paddy's Pub yang terletak berhampiran.

Serangan itu membunuh 202 orang dengan kebanyakannya pelancong asing termasuk 88 warga Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 11:14 AM