Dr Mohd Mizan Aslam

Kegiatan terroris di rantau Asia Tenggara ini mula mendapat perhatian dunia dengan pengeboman Bali yang berlaku pada 12 Oktober 2002 di Kuta, Bali Indonesia. Insiden yang menggemparkan dunia itu mengorbankan 202 nyawa yang sebahagian besarnya adalah rakyat Australia (88), Britain (23), Indonesia (38) dan lain-lain warganegara.

Serangan terbabit dilakukan Umar Patek, Ali Ghufron, Ali Imron dan lain-lain lagi atas arahan dua tokoh besar Jemaah Islamiyyah (JI) iaitu Abu Bakar Ba'asyir (ABB) dan Hambali aka Riduan Isamudin.

Hambali adalah general JI yang mengkoordinasikan serangan di rantau ini terutama di Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Sejak JI bertapak di Malaysia pada 1993, ABB menubuhkan kumpulan pengganas yang paling signifikan dalam sejarah Malaysia yang dianggotai 300 pengikut di Malaysia dan mencecah puluhan ribu di Indonesia. Beberapa nama besar anggota JI juga adalah warga Malaysia termasuk Mohamed Nazir Lep dan Farik Amin yang ditahan di penjara khas untuk terroris di Guantanamao Bay dan beberapa penjara rahsia di Asia, Eropah dan Amerika Latin.

Kerajaan Amerika pernah menawarkan AS$10 juta sebagai imbuhan jika dapat menangkap Hambali dan orang kanannya. Akhirnya, pada 11 Ogos 2003, Hambali, Farik dan Nazir ditahan di Ayutthya, Thailand dalam operasi rahsia CIA dan kerajaan Thailand.

Penahanan mereka hanya beberapa sebelum persidangan APEC di Bangkok yang mana satu serangan berskala besar sudah dirancang ke atas pemimpin dan delegasi persidangan terbabit.

Harus juga difahami Hambali, Mohamed Nazir dan Farik adalah ahli kumpulan JI yang mempunyai affiliation dengan Al-Qaeda yang mendapat arahan terus dari Osama Bin Laden sekitar 1980 hingga 1990-an.

JI mempunyai struktur yang sangat tersusun dan lengkap dengan empat antiqi.

Pertama, Mantiqi Ula yang bertanggungjawab untuk tarbiyah atau pendidikan yang berpusat di Indonesia iaitu selepas ABB diusir pulang ke Indonesia pada 2000.

Mantiqi Tsani berpusat di Malaysia yang berobjektif mendapatkan dana bagi oeparasi terroris. Mantiqi Tsalis berpusat di Selatan Filipina iaitu sebagai tapak operasi dan latihan.

Manakala Mantiqi Rabi' adalah unjuran untuk peluasan khilafah yang berpusat di Australia. Tetapi, semua perancangan ini tergendala dengan penangkapan besar-besaran anggota JI oleh kerajaan Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Sehari selepas presiden baharu Amerika Syarikat, Joe Biden mengangkat sumpah sebagai presiden ke-46, kerajaan Amerika memaklumkan bahawa perbicaraan terhadap Hambali, Farek dan Nazir akan dilakukan di mahkamah tentera. Ini secara simboliknya menunjukkan kerajaan Biden mempunyai inisiatif untuk menghapuskan ancaman terroris terutama di rantau Asia Tenggara.

JI pada dasarnya tidak lagi relevan dalam aktiviti terrorisme di rantau ini terutama selepas kemunculan ISIS. Pengikut dan pimpinan JI kebanyakannya ditangkap dan dibicarakan di Malaysia, Thailand, Filipina, Singapura dan Amerika Syarikat.

Sejak 2003, bekas pimpinan JI membina kumpulan serpihan seperti Jemaah Ansharut Daulah (JAD) dan Jemaah Ansharut Tauhid (JAT). Penangkapan dan hukuman penjara yang dikenakan ke atas tokoh utama JI iaitu ABB, Nasir Abas, Hambali, Umar Patek dan lain-lainnya secara jelas menunjukkan JI semakin lemah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa di negaraa serantau tidak seharusnya memandang rendah keupayaan JI untuk melakukan sesuatu tindakan yang bersifat ganas terutama dengan pengungkapan semula kes Hambali, Nazir dan Farik.

Antara alasannya: Diaspora JI masih besar di rantau ini. Kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki mereka terutaman melalui asuhan di maktab di Afhganistan sekitar 1980-an-1990-an adalah masih relevan. Kemungkinan untuk mereka bersatu semula melalui Halaqah Pakindo dan menuntut bela atas tindakan Amerika yang membawa Hambali ke pengadilan tentera bakal membuka semula duka lama kelompok JI.

Hambali yang juga pimpinan nombor dua selepas ABB dianggap satu figur yang signifikan dalam perjuangan JI. Hambali yang selalunya bertindak sendirian dan mengetuai pelbagai operasi JI di rantau ini mempunyai pengikut setia yang merupakan hasil asuhan beliau sendiri. Malah Hambali juga suatu masa dahulu mempunyai hubungan istimewa secara langsung dengan Osama dan dipercayai masih mempunyai jaringan yang kabur, tetapi signifikan. Ancaman Al-Qaeda masih wujud di Afghanistan dan Afrika.

ABB sebagai pimpinan utama JI yang membangunkan Pedoman Umum Perjuangan Jemaah Islamiyah (PUPJI) baharu sahaja dibebaskan. Malah ABB jelas menyatakan beliau akan terus mengembangkan ajarannya walaupun hanya di rumah atas kekangan Covid-19. Maka ini secara tidak langsung bakal memberikan kekuatan semula kepada JI.

Penangkapan salah seorang individu yang melakukan pngeboman Bali pada 2002, Zulkarnaen di Lampung  pada Disember tahun lalu juga membuktikan diaspora JI mampu dihimpukan semula untuk memberi nafas baharu kepada perjuangan mereka. Masih terdapat saki-baki pimpinan dan laskar JI ini di serata pelosok Indonesia dan Asia Tenggara amnya yang bersembunyi bersama golongan lokal.

Kumpulan baharu jelmaan JI seperti JAD dan JAT serta Mujahidin Indonesia Timur (MIT) di Indonesia boleh dianggap sebagai ancaman baharu dan berterusan kepada rantau ini. Kegiatan MIT yang diketuai Ali Kolera dalam siri serangan di Indonesia akhir-akhir ini agak menakutkan. Contohnya pada 22 Disember tahun lalu, sebuah keluarga Kristian dibunuh dengan disembelih dan dibakar oleh kelompok MIT di Sulawesi Selatan, kawasan di mana pernah wujudnya konflik agama di Indonesia yang mengorbankan ribuan jiwa dan menjadi medan jihad kepada kepada kelompok JI.

Beberapa isteri bekas pengikut JI Indonesia juga dipercayai aktif dalam serangan bom bunuh diri di Filipina termasuk Bom Gereja Jolo September tahun lalu. Ini jelas menunjukkan ideologi terroris masih tersimpan kukuh dalam pemikiran pengikut JI termasuk wanita.

Beberapa tangkapan dan serbuan oleh Polis Republik Indonesia (Polri) terhadap markas latihan JI di Jawa Tengah (Semarang dan Acheh) antara 2017 hingga tahun lalu juga jelas memperlihatkan kemampuan JI melakukan serangan di rantau ini. Ini juga menunjukkan JI masih aktif merekrut pengikut baharu bagi menjalankan aktiviti keganasan di rantau ini.

Tidak kurang 6,000 ahli JI masih aktif di Indonesia dengan saki-baki yang masih wujud di Malaysia, Filipina dan Singapura. Ideologi radikal yang dimiliki mereka boleh dihidupkan kembali jika diperlukan. Melalui kajian lapangan saya di Indonesia dan Filipina, ideologi JI masih tertanam dalam minda pengikut kelompok ini.   

Pelbagai pasantren moden yang dibangunkan anak didik ABB dan Hambali dulunya tumbuh di merata pelosok Indonesia seperti di Malang dan Poso. Ideologi yang dibawa mereka adalah radikal dan keras yang pastinya boleh memberikan ancaman baharu kepada rantau ini.

JI pada ketika ini menjadi alternatif kepada perjuangan khilafah islamiyah di rantau ini lebih-lebih lagi apbila kelompok massa melihat penyimpangan yang dilakukan ISIS. JI dilihat sebagai sebuah kelompok yang benar-benar memperjuangkan khilafah dengan konsep berbeza dengan menyasarkan serangan kepada pasukan keselamatan dan golongan bukan Islam.

Maka melalui perkara di atas, dapat disimpulkan JI boleh memberikan ancaman semula kepada keselamatan di rantau ini. Diaspora JI masih kekal dan kukuh dalam keterasingan dan sekatan yang mereka terima. Ideologi radikal yang dibawa JI masih mengisi minda pengikut JI yang boleh diaktifkan semula terutama dengan terbukanya semula kes Hambali, Nazir dan Farik. Bukan sahaja Indonesia, malah ancaman sama juga bakal diterima oleh Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina. Ancaman Covid-19 ini sebenarnya boleh memberikan peluang dan ruang kepada JI untuk membina semula kekuatan mereka sebelum melakukan operasi bergantung kepada medan jihad baharu yang bakal dibuka nanti. 

Penulis Penasihat Teknikal Pusat Kajian Terrorisme dan Ektremisme, Naif Arab University for Sciences, Arab Saudi     

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 6:00 AM