ENCEP Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali. FOTO Agensi
ENCEP Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Ketua kumpulan jihad Indonesia Jemaah Islamiyah (JI), Encep Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali bakal dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pengeboman Bali pada 2002 dan pengeboman Hotel Marriot di sini, pada 2003.

ABC melaporkan, wakil kanan Al-Qaeda di rantau Asia berusia 59 tahun itu akan didakwa bersama dua rakyat Malaysia.

Sejak beberapa bulan pasukan pembelaan Hambali mencari akses kepada rekod pendakwa kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenai keterangan Imam Samudra dan fail kes penyiasatan lain daripada polis Indonesia atau Polis Persekutuan Australia (AFP) yang membantu menyiasat pengeboman itu.

Namun sehingga kini, Suruhanjaya Tentera AS menafikan usul pasukan pembelaan untuk mendapatkan akses kepada rekod berkenaan.

Pendakwa raya berhujah bahawa dokumen itu sudah diberikan kepada pihak pembelaan atau masih menjalani semakan keselamatan untuk kemungkinan pembebasan.

Suruhanjaya juga memutuskan bahawa sebarang dokumentasi yang tidak berada dalam simpanan kerajaan AS tidak dibekalkan oleh polis Australia atau Indonesia.

Setakat ini, ia juga menyekat semua dokumen mahkamah yang berkaitan dengan permintaan untuk rekod keterangan Imam Samudra yang menjadi kekecewaan buat pasukan peguam bela.

Peguam bela Hodes berkata, pihak berkuasa menahan anak guamnya selama 20 tahun dan belum menyerahkan penemuan bukti.

Beliau berkata, pihak pendakwa menyerahkan satu laporan daripada AFP berkaitan forensik pengeboman Bali dan bukannya rekod temu bual atau keterangan yang mungkin dikumpulkan daripada pengebom yang disabitkan kesalahan.

Kata beliau lagi, peguam bela sudah mengemukakan permintaan di Australia di bawah undang-undang kebebasan maklumat tetapi AFP mempertikaikannya.

"Kami diberitahu terdapat begitu banyak dokumen yang meliputi pengeboman Bali sehingga memerlukan beberapa kru untuk mengemukakan dokumen itu dan mereka meminta kami mengehadkan permintaan yang sedang kami lakukan.

"Kerajaan negara itu dan pendakwa raya memberitahu kami bahawa mereka tidak mempunyai apa-apa selain daripada laporan itu," katanya.

Beliau berharap permintaannya untuk mendapat akses kepada saksi atau fail kes yang dipegang di AS termasuk AFP akan menjadi antara enam usul utama yang perlu dipertimbangkan pada praperbicaraan minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 2:30 PM