Phonchanok Srisunaklua ditahan pihak berkuasa berikutan mencetuskan ketakutan baru terhadap pandemik. FOTO Agensi
Phonchanok Srisunaklua ditahan pihak berkuasa berikutan mencetuskan ketakutan baru terhadap pandemik. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Seorang vlogger (video blogger) makanan yang memakan kelawar ditahan pihak berkuasa berikutan mencetuskan ketakutan baru terhadap pandemik.

Daily Star melaporkan, Phonchanok Srisunaklua memadamkan video dan memohon maaf selepas berkongsinya di YouTube di mana penonton menyaksikan dia mengoyak daging kelawar yang dimasak dalam sup dengan tomato.

Polis mengesahkan pencipta kandungan makanan dari Thailand itu ditahan 10 Ogos lalu di wilayah Sakon Nakhon selepas memakan kelawar kuning Asiatik dan spesies yang dilindungi.

"Saya memohon maaf kepada semua orang. Saya tidak fikir apa yang saya lakukan adalah melulu, tetapi ia mungkin satu perkara yang tidak baik dan memohon maaf kepada semua pengikut yang kecewa dengan saya.

"Saya minta maaf kerana membuat awak berasa takut mengenai apa yang saya lakukan. Saya tidak tahu sama ada awak akan memaafkan saya atau tidak.

"Saya tidak memikirkannya sebelum ini. Saya betul-betul minta maaf. Saya minta maaf. Saya minta maaf kepada masyarakat. Saya salah," katanya.

Phonchanok memberitahu polis dia membeli haiwan itu dari pasar berhampiran sempadan Thailand dengan Laos.

Haiwan itu dikaitkan dengan permulaan wabak Covid-19.

Doktor haiwan Pattaraphon Manee-on, ketua kumpulan pengurusan kesihatan hidupan liar di Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan berkata dia terkejut melihatnya kandungan klip video itu.

"Oleh kerana kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di Thailand dan di seluruh dunia, ia adalah tingkah laku yang sangat berisiko, lebih-lebih lagi kelawar mempunyai banyak patogen.

"Tiada bukti suhu air panas sebenarnya akan membunuh kuman. Hanya menyentuh air liur, darah, dan kulit dianggap berisiko.

"Selain kebimbangan mengenai penyakit dalam kelawar, wanita ini mungkin bersalah melanggar Akta Pemeliharaan dan Perlindungan dan Hidupan Liar, B.E. 2019 kerana kelawar adalah haiwan yang dilindungi.

"Kelawar sebelum ini dipersalahkan untuk novel koronavirus, pada mulanya dinamakan 2019-nCov, selepas didakwa virus itu berasal dari pasar basah di Wuhan, China," katanya.

Tidak pernah dibuktikan virus itu berasal dari pasar basah dengan penjelasan lain ialah Covid-19 adalah virus buatan manusia yang bocor dari makmal.

Bagaimanapun, kelawar masih berpotensi menjadi vektor penyakit kerana ia membawa pelbagai virus dan patogen yang mungkin berjangkit kepada manusia, kata Rangsarit Kanchanawanit dari Jabatan Perubatan Universiti Chiang Mai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 12:24 PM