ANTARA roket yang dipamerkan dalam perarakan tentera Korea Utara, semalam.  - AFP
ANTARA roket yang dipamerkan dalam perarakan tentera Korea Utara, semalam. - AFP
Agensi

Pyongyang: Korea Utara semalam mempamerkan apa yang dipercayai peluru berpandu jarak jauh dan yang boleh dilancarkan dari kapal selamnya ketika ia menyambut ulang tahun kelahiran ke- 105 pengasas negara itu, Kim Il Sung semalam.

Peluru berpandu menjadi tema utama perarakan besar-besaran sambutan itu.

Pemimpin negara itu, Kim Jong-un kelihatan tenang sambil ketawa bersama pembantunya ketika dia menyaksikan perarakan itu di Dataran Kim Il Sung di Pyongyang.

Perbarisan tentera yang diadakan di dataran bersebelahan Sungai Taedonggang itu diikuti dengan perarakan kereta kebal, sistem pelancar roket dan senjata lain.

Tidak seperti perarakan yang dihadiri Kim sebelum ini, tidak ada pegawai kanan China dilihat hadir pada acara semalam.

China ialah sekutu utama Korea Utara tetapi ia membantah ujian peluru berpandu dan nuklear Pyongyang serta menyokong sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap negara itu.

Penganalisis senjata berkata, mereka percaya sebahagian peluru berpandu yang dipamerkan semalam ialah peluru berpandu balistik rentas benua (ICBM) jenis baru

Korea utara sebelum ini berkata, ia berjaya menghasilkan dan akan melancarkan senjata itu yang mampu menjejaki Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, menurut pakar, negara berkenaan masih belum mencapai teknologi yang diperlukan untuk menghasilkan senjata seumpama itu.

Pembantu kanan Kim, Choe Ryong Hae yang berucap di upacara pembukaan perarakan berkenaan memberi amaran kepada Amerika Syarikat.

“Jika Amerika Syarikat melancarkan provokasi terhadap kita, kuasa revolusi kita akan bertindak serta-merta untuk menanganinya dengan melancarkan serangan yang akan melenyapkan mereka. Kita akan menyamabut perang dengan perang habis-habisan serta perang nuklear dengan cara perang nuklear yang kita miliki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 3:26 AM