PESERTA membetulkan potret pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un ketika perhimpunan mengecam ujian nuklear dan peluru berpandu Pyongyang di Seoul, Korea Selatan, semalam.
PESERTA membetulkan potret pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un ketika perhimpunan mengecam ujian nuklear dan peluru berpandu Pyongyang di Seoul, Korea Selatan, semalam.
Agensi

Seoul: Korea Utara sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk melakukan ujian kelima nuklear, kata Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye, semalam.

“Penilaian yang kami lakukan menunjukkan mereka sudah siap sedia sepenuhnya untuk lakukan ujian kelima nuklear. Ujian itu boleh dilakukan bila-bila masa yang mereka mahukan,” kata Park pada mesyuarat dengan pengarang dan pertubuhan media tempatan.

Kebimbangan semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu mengenai kemungkinan Pyongyang melakukan ujian itu menjelang kongres parti pemerintah yang akan diadakan awal bulan depan walaupun ia dikenakan sekatan tegas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas ujian serupa Januari lalu.

Korea Utara sebelum ini mendakwa mencapai kemajuan besar dalam program senjata nuklearnya - peluru berpandu balistik yang berupaya membawa peledak nuklear ke sasaran merentas benua Amerika Syarikat.

Awal bulan ini, pemimpinnya, Kim Jong-Un menyaksikan sendiri ujian sebuah enjin yang direka untuk membawa peluru berpandu itu, yang menurutnya akan menjamin senjata itu dapat mengena sesaran di Amerika Syarikat.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap semalam memetik sumber kerajaan sebagai berkata, Pyongyang sudah meletakkan Musudan, peluru berpandu jarak sederhana dalam keadaan bersiap untuk diuji.

Musudan dipercayai mampu menjejaki sasaran sejauh 2,500 dan 4,000 kilometer.

Bagaimanapun ujian yang dilakukan terhadap senjata itu sebelum ini tidak pernah berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 6:43 AM