STESEN televisyen Korea Selatan memaparkan laporan pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara. FOTO AP
STESEN televisyen Korea Selatan memaparkan laporan pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara. FOTO AP
Reuters

Seoul: Korea Utara melepaskan dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah laut di luar pantai timur pada Sabtu, lapor tentera Korea Selatan.

Ia adalah peluru berpandu keempat dilancarkan Pyongyang dalam seminggu ketika meningkatkan ketegangan di sekitar Semenanjung Korea.

Tindakan itu dibuat selepas tentera laut Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mengadakan latihan antikapal selam bersama pada Jumaat buat kali pertama dalam tempoh lima tahun, dan susulan lawatan Naib Presiden AS Kamala Harris ke rantau itu minggu ini.

Dua peluru berpandu jarak dekat itu dilancarkan dari Sunan dekat utara Pyongyang, kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan dalam satu kenyataan.

Ia menganggarkan jaraknya meliputi 350 kilometer (km), pada ketinggian 30 km dan kelajuan, Mach 6.

Pengawal pantai Jepun juga melaporkan sekurang-kurangnya dua ujian peluru berpandu balistik disyaki dilepaskan oleh Pyongyang.

Peluru berpandu itu terbang sejauh 400 km dan 350 km, mencapai ketinggian 50 km, kata Menteri Pertahanan Negara Jepun Toshiro Ino.

Tokyo membuat bantahan terhadap Korea Utara melalui saluran diplomatik, kata Ino, sambil menambah peluru berpandu itu mungkin terbang secara tidak teratur dan direka untuk mengelak pertahanan peluru berpandu.

Komando Indo-Pasifik AS memaklumkan menyedari pelancaran peluru berpandu balistik dan hasil penilaian mendapati ia tidak menimbulkan ancaman kepada kakitangan, wilayah AS atau kepada sekutunya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 10:02 AM