Seoul: Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah perairan timurnya, pada Jumaat.
Ia adalah demonstrasi senjata terbaharunya yang berlaku beberapa hari selepas pesawat perang Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan melakukan latihan bersama yang dilihat Korea Utara sebagai latihan pencerobohan.
Korea Utara sudah melakukan ujian peluru berpandu yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada tahun ini, dan beberapa pakar mendakwa ia sebagai percubaan untuk meningkatkan keupayaan senjatanya.
Baru-baru ini, Korea Utara mendakwa sudah melakukan ujian besar diperlukan untuk memperoleh satelit pengintip pertamanya dan peluru berpandu balistik antara benua lebih mudah alih yang mampu sampai ke tanah besar AS.
Tentera Korea Selatan mengesan dua pelancaran peluru berpandu dari wilayah ibu kota Korea Utara, jam 4.32 petang pada Jumaat.
Jepun turut mengesahkan sekurang-kurangnya satu pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara.
Tidak jelas dengan tepat jenis peluru berpandu yang dilepaskan Korea Utara.
Tentera Korea Selatan berkata, peluru berpandu itu bergerak masing-masing kira-kira 250 kilometer dan 350 kilometer sebelum mendarat di perairan antara Semenanjung Korea dan Jepun.
Sementara itu, Naib Menteri Pertahanan Jepun Toshiro Ino berkata, satu peluru berpandu yang dikesan oleh Jepun terbang sejauh 300 kilometer (km) pada ketinggian maksimum 50 km.
Beliau berkata, peluru berpandu itu mungkin menunjukkan trajektori 'tidak teratur' merujuk kepada peluru berpandu KN-23 Korea Utara yang sangat mudah dikendalikan dam berkeupayaan nuklear.