LAPORAN  mengenai pelancaran peluru berpandu yang disiarkan menerusi  televisyen di Stesen Keretapi Seoul. FOTO AP.
LAPORAN mengenai pelancaran peluru berpandu yang disiarkan menerusi televisyen di Stesen Keretapi Seoul. FOTO AP.
AFP

Seoul: Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak pertengahan (IRBM) ke atas Jepun pagi ini.

Kali terakhir Korea Utara melepaskan peluru berpandu ke atas Jepun adalah pada 2017, apabila pemimpin Pyongyang Kim Jong Un berbalas kritikan dengan presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika itu.

Tentera Korea Selatan berkata, mereka mengesan pelancaran IRBM yang terbang kira-kira 4,500 kilometer (km) pada aras ketinggian kira-kira 970 km dan kelajuan sekitar 17 Mach.

"Maklumat terperinci sedang dianalisis rapi perisikan Korea Selatan dan AS," kata Ketua Staf Bersama Selatan dalam satu kenyataan.

Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol menyifatkan pelancaran itu sebagai provokasi yang melanggar peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Yoon memerintahkan tindak balas tegas dan mengambil langkah sepadan dengan kerjasama AS dan masyarakat antarabangsa," kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Tokyo yang mengesahkan pelancaran IRBM turut mengaktifkan sistem amaran peluru berpandu negara dan menggesa orang ramai untuk berlindung.

Badan Penyiaran Jepun (NHK) berkata, amaran itu berkuat kuasa bagi dua wilayah utara negara itu.

Perdana Menteri Fumio Kishida berkata, Jepun mengecam sekeras-kerasnya tindakan Korea Utara itu.

Menteri Pertahanan Yasukazu Hamada menjangkakan pelancaran kali ini adalah jenis sama berikutan Korea Utara melancarkan peluru berpandu Hwasong 12 sebanyak empat kali sebelum ini.

Seorang profesor di Universiti Ewha di Seoul, Leif-Eric Easley berkata, tindakan Korea Utara itu menunjukkan peningkatan provokasi yang dilakukan baru-baru ini.

Sabtu lalu, Korea Utara turut melepaskan dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah laut di luar pantai timur Semenanjung Korea.

Tindakan itu dibuat selepas tentera laut Korea Selatan, AS dan Jepun mengadakan latihan antikapal selam bersama pada Jumaat buat kali pertama dalam tempoh lima tahun selain lawatan Naib Presiden AS Kamala Harris ke rantau itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 11:20 AM