FOTO pada 16 Mei disiarkan agensi berita rasmi Korea Utara menunjukkan ujian pelancaran peluru berpandu balistik antara benua dari lokasi yang tidak dinyatakan di negara itu. FOTO KCNA/ Reuters
FOTO pada 16 Mei disiarkan agensi berita rasmi Korea Utara menunjukkan ujian pelancaran peluru berpandu balistik antara benua dari lokasi yang tidak dinyatakan di negara itu. FOTO KCNA/ Reuters
AFP

Seoul: Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat, semalam bagi memberi amaran terhadap latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) - Korea Selatan.

Dua negara itu meningkatkan kerjasama pertahanan sebagai tindak balas kepada ancaman yang semakin meningkat dari Korea Utara yang sedang menjalankan latihan pemusnahan menggunakan nuklear secara berskala besar.

Ketua Turus Bersama Seoul berkata, pihaknya mengesan pelancaran dua peluru berpandu balistik jarak dekat dari Sunan ke Laut Timur.

"Kami meningkatkan pemantauan sekiranya provokasi berlanjutan dan mengekalkan kesediaan dalam penyelarasan rapat dengan AS," kata tentera dalam kenyataan.

Tokyo turut mengesahkan pelancaran peluru berpandu itu dengan seorang pegawai kementerian pertahanan mengesahkan, kedua-dua peluru berpandu itu mendarat di perairan dalam zon ekonomi eksklusif (EZZ) Jepun.

"Peluru berpandu itu mungkin terbang pada trajektori yang tidak teratur," kata jurucakap tertinggi kerajaan Jepun, Hirokazu Matsuno kepada pemberita.

Katanya, satu peluru itu terbang sejauh 850 kilometer (km), manakala satu lagi kira-kira 900 km pada ketinggian 50 km sebelum mendarat di EEZ Jepun.

Dalam satu kenyataan bersama AS, Korea Selatan dan Jepun, mengecam pelancaran itu.

Ketiga-tiga negara itu berkata, tindakan Korea Utara itu melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, tindakan itu menunjukkan ancaman senjata pemusnah besar-besaran yang menyalahi undang-undang.

Rabu lalu, Korea Selatan memfailkan tuntutan mahkamah menuntut ganti rugi dari Korea Utara, untuk insiden merobohkan pejabat perhubungan pada tahun 2020.

Pejabat itu ditubuhkan di zon perindustrian berhampiran sempadan di wilayah Korea Utara pada 2018 dengan kos dibiayai Seoul ketika presiden Korea Selatan ketika itu Moon Jae-in mendesak memulihkan hubungan diplomatik dengan Pyongyang.

Namun, selepas proses perdamaian gagal dan hubungan dua negara semakin merosot, Korea Utara merobohkan bangunan itu pada Jun 2020.

Seoul menyifatkan tindakan merobohkan bangunan itu sebagai menyalahi undang-undang serta menuntut ganti rugi 44.7 bilion won (kira-kira RM163 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 2:35 PM