REAKSI penduduk Korea Utara selepas pengumuman mengenai ujian peluru berpandu terbaru, semalam. - AFP
REAKSI penduduk Korea Utara selepas pengumuman mengenai ujian peluru berpandu terbaru, semalam. - AFP
AFP

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un semalam berkata, negaranya mencapai kuasa penuh nuklear selepas berjaya menguji peluru berpandu terbaru yang mampu menyasarkan mana-mana kawasan di Amerika Syarikat (AS).

Pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) semalam memberikan cabaran baru kepada Presiden AS Donald Trump yang berikrar ancaman seumpama itu tidak akan dibiarkan dilaksanakan.

Perkara berkenaan disampaikan Ri Chun-Hee, pemberita kanan stesen penyiaran Korea Utara yang hanya muncul di televisyen untuk menyampaikan perkembangan penting.

Menurut agensi berita KCNA, peluru berpandu itu lebih canggih daripada yang diuji sebelum ini.

“Peluru berpandu jenis Hwasong-15 itu roket balistik dipasang kepala peledak yang mampu meranapkan seluruh tanah besar AS,” kata agensi berita itu.

Menurut Pyongyang, peluru berpandu itu mencapai ketinggian 4,475 kilometer (km) dan jatuh 950km dari tempat ia dilancarkan.

Sekurang-kurangnya seorang pakar Barat mengatakan pelancaran trajektori peluru berpandu itu mencadangkan jarak sebenar sejauh 13,000 km, lebih jauh daripada mana-mana ujian sebelum ini dan mungkin mampu mencapai setiap bandar utama di AS.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres kelmarin mengutuk sekeras-kerasnya ujian peluru berpandu itu dan menggesa Pyongyang berhenti mengambil langkah yang menggugat kestabilan lanjut.

Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar semalam bagi membincangkan pelancaran terbaru itu selepas AS meminta lebih banyak sekatan dikenakan terhadap Korea Utara berhubung tindakannya itu.

Ujian peluru berpandu itu adalah yang pertama seumpamanya sejak 15 September lalu, sekali gus menolak spekulasi mengatakan Pyongyang membatalkan niatnya bagi membuka pintu untuk berunding.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 4:35 AM