SIARAN televisyen mengenai pelancaran peluru berpandu di Korea Selatan. FOTO Reuters.
SIARAN televisyen mengenai pelancaran peluru berpandu di Korea Selatan. FOTO Reuters.

Reuters

Seoul: Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik pada Khamis, termasuk kemungkinan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang mencetuskan amaran kepada penduduk di bahagian tengah dan utara Jepun untuk mencari perlindungan.

Walaupun kerajaan memberi amaran awal bahawa peluru berpandu mrnghujani Jepun, Tokyo kemudiannya berkata itu tidak betul.

Pegawai di Korea Selatan dan Jepun berkata peluru berpandu itu mungkin ICBM, yang juga senjata jarak jauh Korea Utara, dan direka untuk membawa hulu peledak nuklear ke merentas sempadan.

Korea Utara juga melancarkan sekurang-kurangnya dua peluru berpandu jarak dekat.

Ia dibuat sehari selepas Korea Utara melepaskan sekurang-kurangnya 23 peluru berpandu, paling banyak dalam sehari, termasuk satu yang mendarat di luar pantai Korea Selatan buat kali pertama.

Naib Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun-dong dan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Wendy Sherman mengutuk sekeras-kerasnya siri pelancaran peluru berpandu Korea Utara sebagai menyedihkan, tidak bermoral ketika panggilan telefon pada Khamis, kata kementerian luar Seoul.

Selepas pelancaran pertama pada Khamis, penduduk wilayah Miyagi, Yamagata dan Niigata di Jepun diberi amaran untuk mencari perlindungan di rumah, menurut Sistem Penyiaran Kecemasan J-Alert.

Menteri Pertahanan Jepun Yasukazu Hamada kemudiannya berkata kerajaan kehilangan jejak peluru berpandu itu di atas Laut Jepun, mendorongnya untuk membetulkan pengumuman awal bahawa ia terbang di atas negara itu.

"Kami mengesan pelancaran yang menunjukkan potensi untuk terbang di atas Jepun dan oleh itu mencetuskan amaran, tetapi selepas semakan, kami mengesahkan bahawa ia tidak melepasi Jepun," kata Hamada kepada pemberita.

Peluru berpandu pertama terbang pada ketinggian kira-kira 2,000 kilometer dan jarak 750 kilometer.

Dalam ulasan ringkas kepada pemberita, Perdana Menteri Fumio Kishida berkata, pelancaran peluru berpandu berulang Korea Utara adalah satu kemarahan dan sama sekali tidak boleh dimaafkan."

Kira-kira setengah jam selepas pelancaran pertama kali dilaporkan, Pengawal Pantai Jepun berkata peluru berpandu itu jatuh.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata peluru berpandu jarak jauh itu dilancarkan dari dekat ibu negara Korea Utara Pyongyang.

Kira-kira sejam selepas pelancaran pertama, tentera Korea Selatan dan pengawal pantai Jepun melaporkan pelancaran kedua dan ketiga dari Korea Utara yang ditembak dari Kaechon, utara Pyongyang.

Selepas pelancaran Korea Utara pada hari Rabu, termasuk satu peluru berpandu yang mendarat kurang daripada 60 kilometer dari pantai Korea Selatan, Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol menyifatkan penerbangan itu sebagai "pencerobohan wilayah" dan Washington mengecamnya sebagai "melulu".

Korea Selatan mengeluarkan amaran serangan udara yang jarang berlaku dan melancarkan peluru berpandunya sendiri sebagai tindak balas selepas serangan pada hari Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 10:51 AM