FOTO tular menunjukkan lelaki itu meletakkan ular di leher kanak-kanak. FOTO Agensi
FOTO tular menunjukkan lelaki itu meletakkan ular di leher kanak-kanak. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: Seorang lelaki di Uttar Pradesh, India yang popular di kampungnya kerana kebolehan menangkap ular, maut selepas dipatuk reptilia berbisa ketika mempamerkan kepada umum ular yang diselamatkannya itu.

NDTV melaporkan, lelaki dikenali sebagai Devendra Mishra sudah dapat menangkap ular berkenaan dari rumah jiran di kampungnya di daerah Shahjahanpur.

Selepas menyelamatkan ular berbisa berkenaan, Mishra mengelilingi kampung dengan ular itu dibiarkan melilit lehernya.

Dalam video yang kini tular di media sosial, lelaki itu dilihat menangkap ular itu dengan bantuan sebatang kayu.

Satu lagi video menunjukkan dia meletakkan ular itu di leher seorang kanak-kanak.

Mishra dilaporkan dipatuk ular itu kira-kira dua jam selepas dia menangkap reptilia berkenaan.

Penduduk kampung memberitahu, Mishra cuba merawat kecederaan akibat bisa patukan ular itu dengan pelbagai herba dan bukannya pergi ke hospital.

Namun, lelaki berkenaan meninggal dunia di rumahnya sendiri beberapa jam kemudian, kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 12:48 PM